Sejambak Kasih MKM

Sejambak Kasih MKM

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Julai – Pengagihan pakaian, beg dan kasut sedekah orang ramai kepada mereka yang memerlukan di bawah Program Sejambak Kasih Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah berlangsung meriah, hari ini.

Lebih 1,000 orang telah datang dan pulang dengan senyuman membawa pakaian pilihan masing-masing terutama sekali pakaian untuk menyambut Hari Lebaran yang bakal menjelang iaitu baju cara Melayu untuk lelaki dan baju kurung untuk perempuan.

Pakaian-pakaian berkenaan telah dipamerkan di Restoran Harini, Stadium Negara Hassanal Bolkiah Berakas dan di kediaman Yang Dipertua MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim di Kampung Sungai Akar untuk dipilih sendiri oleh para penerima.

Acara berkenaan merupakan kesinambungan kepada pelbagai aktiviti anjuran MKM di bawah program berkenaan dalam bulan Ramadan bagi para kliennya yang berdaftar di dalam senarai khidmat nasihat guaman MKM.

Kanak-kanak berpeluang memilih sendiri pakaian kesukaan.
Kanak-kanak berpeluang memilih sendiri pakaian kesukaan.
Kalangan mereka yang kelihatan memilih sendiri pakaian semasa pengagihan pakaian sedekah MKM di Restoran Harini.
Kalangan mereka yang kelihatan memilih sendiri pakaian semasa pengagihan pakaian sedekah MKM di Restoran Harini.
Antara ahli Jawatankuasa MKM yang bergotong-royong memasak bubur lambok sebelum dihantar ke rumah para penerima.
Antara ahli Jawatankuasa MKM yang bergotong-royong memasak bubur lambok sebelum dihantar ke rumah para penerima.
Naib YDP III MKM, Awang Hasbollah ketika menyampaikan makanan yang sudah dimasak kepada salah seorang penerima.
Naib YDP III MKM, Awang Hasbollah ketika menyampaikan makanan yang sudah dimasak kepada salah seorang penerima.
AJK MKM bersama para penghuni Rumah Anak Kesayangan Kami (RAKK), Miri, Sarawak.
AJK MKM bersama para penghuni Rumah Anak Kesayangan Kami (RAKK), Miri, Sarawak.
Datin Paduka Hajah Intan menuang cendol ke dalam bekas tersedia sebelum dihantar ke rumah penerima.
Datin Paduka Hajah Intan menuang cendol ke dalam bekas tersedia sebelum dihantar ke rumah penerima.

Salah satu daripadanya ialah program 10 hari (21 Jun hingga 30 Jun) iaitu Skim Makanan Masak untuk Iftar (berbuka puasa) buat seramai 254 orang daripada 43 keluarga yang dikenal pasti dalam senarai klien MKM, termasuk memasak Bubur Lambuk MKM yang dilaksanakan secara bergotong-royong sebelum dihantar ke rumah para penerima.

Objektif program dalam bulan Ramadan itu adalah untuk mengurangkan beban para penerima terutama sekali bagi mereka yang sudah tidak mampu memasak kerana umur yang sudah lanjut ataupun keadaan fizikal yang tidak mengizinkan, dengan harapan mereka akan dapat menikmati iftar mereka.

Pada 3 Julai pula, MKM telah menyampaikan sedekah daripada hamba Allah kepada 100 orang klien MKM dan 30 orang ahli MKM yang diteruskan dengan majlis berbuka puasa.

Dua hari kemudian, pada 5 Julai, MKM telah mengadakan aktiviti penyerahan hamper kepada 55 keluarga yang kurang berkemampuan bermula di kediaman Datin Paduka Hajah Intan sehingga ke Daerah Belait.

Pada 6 Julai pula menyaksikan MKM melaksanakan Program Sejambak Kasih Merentas Sempadan iaitu ke Miri, Sarawak untuk menyampaikan sumbangan derma MKM ke Rumah Anak Kesayangan Kami (RAKK), Miri, Sarawak, Malaysia.

Kemudian pada 10 Julai, MKM telah membawa seramai 100 orang kliennya bersungkai bersama di Restoran Harini, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas yang ditaja oleh Yussof Halim.

Program Sejambak Kasih yang telah dilancarkan secara rasminya pada 14 Februari 2015 itu merupakan aktiviti sepanjang tahun MKM sebagai sebahagian daripada hasrat murni MKM bagi membantu meringankan beban para penerima seluruh negara.

MKM mengalu-alukan para dermawan yang ingin menghulurkan apa juga bentuk bantuan dan sumbangan supaya menghubungi MKM di talian 8770312 ataupun menghantar e-mel ke alamat mkm-brunei@yahoo.com.

ARTIKEL YANG SAMA