Sejarah berulang lagi buat kali ketiga

Sejarah berulang lagi buat kali ketiga

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) terus mencatatkan kejayaan prosedur pembedahan pemindahan buah pinggang yang dilakukan sendiri oleh sepasukan pakar tempatan, diketuai oleh Pakar Nefrologi, Dr Jackson Tan.

Pembedahan pemindahan buah pinggang yang dilakukan ke atas Haji Mohammad Haris bin Haji Duraman, pada 13 Ogos lalu merupakan yang ketiga berjaya dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Renal, Hospital RIPAS.

Prosedur pembedahan buah pinggang yang pertama kalinya diadakan pada 21 November 2013 dan diikuti kali kedua pada 16 Oktober 2014.

Menteri Kesihatan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof menyifatkan kejayaan kali ini sebagai amat bermakna serta berbesar hati atas kerjasama kesemua pihak yang menjayakan program kesihatan.

“Dengan adanya kemudahan dan alat-alat yang canggih lagi moden di Hospital RIPAS ini maka program seperti ini berjaya dilaksanakan dengan sempurnanya,” katanya pada sidang media bagi Program Pembedahan Buah Pinggang kali ketiga di Hospital RIPAS hari ini.

Tiga hari setelah berjaya menjalani prosedur pemindahan buah pinggang, Haji Mohammad Haris, 44 tahun, telah dibenarkan pulang ke rumahnya.

Beliau ialah seorang penghidap penyakit buah pinggang, menerima rawatan Hemodialisis selama 3 tahun, telah menerima buah pinggang yang didermakan oleh isteri beliau sendiri, Pengiran Sukmaria binti Pengiran Haji Hashim, 45 tahun. Prosedur pembedahan tersebut berjaya dilakukan hasil kerjasama sepadu pelbagai disiplin profesion kesihatan tempatan yang diketuai oleh Pakar Nefrologi, Dr Jackson Tan.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan ketika menyampaikan ucapannya di awal majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan ketika menyampaikan ucapannya di awal majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin bersama para pakar bedah berserta pesakit dan isteri beliau ketika sidang media diadakan.
Yang Berhormat Pehin bersama para pakar bedah berserta pesakit dan isteri beliau ketika sidang media diadakan.

Merujuk kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Renal, jumlah pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang tahap akhir di negara ini kini semakin meningkat dan memerlukan terapi penggantian renal.

Sehingga Jun 2015, jumlah pesakit buah pinggang adalah seramai 694 orang dan 593 daripada jumlah tersebut kini menjalani rawatan Hemodialisis manakala 59 pula menjalani rawatan Peritoneal.

Dalam ucapan Menteri Kesihatan hari ini, Yang Berhormat Pehin menyuarakan perasaan syukur dan amat berbesar hati atas kerjasama kesemua pihak yang menjayakan program kesihatan di Kementerian Kesihatan dan menegaskan dengan adanya kemudahan dan alat-alat yang canggih lagi moden di Hospital RIPAS ini maka program seperti ini berjaya dilaksanakan dengan sempurnanya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kerana ini menunjukkan dan membuktikan bahawa para profesional kesihatan tempatan telah berjaya melaksanakan program pemindahan buah pinggang buat kali ke-3, dan kejayaan ini juga telah dibantu oleh seorang profesor yang merupakan seorang pakar bedah dari Australia iaitu Profesor Mohan Rao,” Ujar Yang Berhormat Pehin.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, program pembedahan buah pinggang ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan adalah diharapkan kepada orang ramai supaya tidak merasa takut dan ragu-ragu kerana program pemindahan buah pinggang ini telah terbukti dan diiktiraf di arena antarabangsa.

“Prosedur ini merupakan salah satu prosedur yang kos efektif dan yang terbaik kepada pesakit-pesakit yang menerima dialisis atau pun mereka yang mengidap sakit buah pinggang di peringkat akhir,” tegas Yang Berhormat Pehin lagi.

“Marilah kita sama-sama mengikut nasihat para doktor dan profesional kesihatan tentang tatacara untuk mengawal dan menghargai kehidupan dengan mengamalkan cara hidup yang sihat dan sejahtera,” demikian kata kata hikmat Yang Berhormat Pehin sebelum mengakhiri ucapan beliau.