Sejarah dalam imej fotografi

Sejarah dalam imej fotografi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Imej fotografi mempunyai kesan atau impak yang besar dalam perspektif seni, sains, teknologi, komunikasi, kebudayaan, sosial dan sejarah.

“Justeru itu, imej fotografi bukan hanya sekadar mengabdikan sebuah gambar tetapi kita perlu melihat bagaimana gambar itu memiliki cerita yang ingin disampaikan. Perlu, diingatkan, kandungan setiap gambar yang dihasilkan adalah sejarah.”

Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Ahmad menambah, gambar/foto adalah bukti tidak bertulis yang dapat dijadikan bahan untuk menerangkan sesuatu fakta dalam meneliti sejarah, oleh yang demikian, imej fotografi telah banyak digunakan dan dijadikan alat popular oleh para penyelidik, pendidik dan profesional lain untuk mengetahui maklumat sesuatu peristiwa itu.

Beliau berkata sedemikian semasa menyampaikan ucapan selaku Pengerusi Peraduan Fotografi 2014 di Majlis Penyampaian Hadiah peraduan berkenaan yang berlangsung di Taman Jubli Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah di majlis itu ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Datin Hajah Adina menyaksikan pameran.
Datin Hajah Adina menyaksikan pameran.
Datin Hajah Adina merasmikan Pameran Peraduan Fotografi 2014.
Datin Hajah Adina merasmikan Pameran Peraduan Fotografi 2014.

Pengiran Hajah Mahani seterusnya berkata dunia fotografi bukan hanya bidang separuh masa dan sekadar hobi semata-mata tetapi masyarakat hari ini telah mengiktiraf bidang ini sebagai salah satu kerjaya profesional.

Penerimaan masyarakat terhadap bidang fotografi telah dipandang serius kerana rata-rata mereka sudah memahami peranan fotografi sebagai medium yang amat penting dalam pembangunan sosial, komuniti dan komunikasi, tambahnya.

Menyentuh mengenai peraduan berkenaan, beliau berkata seramai 77 peserta telah menyertainya, yang mana ia merupakan kesinambungan Pertandingan Video Dokumentari Sejarah Peringkat Amatur pada tahun 2013.

Menurutnya lagi, peraduan ini juga adalah julung-julung kalinya diadakan oleh Pusat Sejarah Brunei dengan melibatkan mahasiswa-mahasiswi universiti, pusat-pusat pengajian tinggi, maktab dan para pelajar sekolah menengah di negara ini.

Peraduan berkenaan membawa tema ‘Sejarah Fotografi di Mana-Mana’ dan dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu kategori A bagi mahasiswa dan mahasiswi, kategori B bagi pelajar pusat tingkatan enam / maktab, dan kategori C pula bagi pelajar sekolah menengah.

Datin Hajah Adina menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori C.
Datin Hajah Adina menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori C.

Muncul juara bagi kategori A ialah Dayang Nadirah Nasihah binti Haji Mohd Hassan diikuti oleh Awang Alif bin Mohd Haji Salleh di tempat kedua dan Dayang Zanariah @ Zamila binti Jumat di tempat ketiga.

Kategori B pula dijuarai oleh Awang Muhammad Khairul Hafizan @ Mahfiz bin Mahali, sementara tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh Dayang Nurul Aida Shazleena binti Roslee dan Awang Ahmad Haziq bin Haji Muhammad.

Manakala itu, juara bagi kategori C ialah Dayang Nurul Uzma Nadhiratul Asiqin binti Amri diikuti oleh Dayang Nurul Imra Naziratul binti Amri dan Awang Abdul Hakeem Afiq bin Abdullah, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Juara bagi ketiga-tiga kategori menerima wang tunai $2,000, tempat kedua $500 dan pemenang ketiga membawa pulang $500, masing-masing berserta sijil.

Majlis turut menyaksikan pelancaran Pameran Peraduan Fotografi 2014 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.

Pameran berkenaan akan diteruskan dan diadakan di Pusat Sejarah Brunei selama sebulan.

Di samping itu, majlis pagi tadi turut diselajurkan dengan acara Hari Keluarga dan Hari Pelanggan Pusat Sejarah Brunei yang diisi dengan aktiviti menarik seperti mewarna, melukis tutup mata, sukan tarik kalat, lumba lari dalam guni dan banyak lagi.

ARTIKEL YANG SAMA