Sejarah harus diberigakan ke generasi muda

Sejarah harus diberigakan ke generasi muda

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Dalam usaha memberigakan sejarah Brunei kepada murid-murid sekolah rendah di negara ini, Bahagian Pameran dan Perkhidmatan Pusat Sejarah mengadakan Program Outreach melalui Pameran Bergerak Ristaan Sejarah Brunei ke sekolah-sekolah rendah di negara ini.

Rombongan Bahagian Pameran dan Perkhidmatan Pusat Sejarah hari ini meneruskan program mereka ke Sekolah Rendah Mata-Mata dan sekolah ini merupakan destinasi ketiga sejak program berkenaan dilancarkan pada 16 Mei 2016.

Pemangku Ketua Pameran Awang Ali bin Haji Abdul Rahman semasa ditemui di dewan sekolah berkenaan menjelaskan, antara lain tujuan program adalah untuk memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan mempelajari dan mengetahui sejarah serta relevannya pelajaran sejarah terhadap pembangunan bangsa dan negara.

Selain mengembangkan bakat dan minat pelajar dalam bidang sejarah serta memberi galakan kepada pelajar untuk meminati mata pelajaran sejarah.

Beliau seterusnya menambah, pameran bergerak ini merupakan pendekatan yang lebih mudah difahami dan diikuti oleh pelajar sekolah rendah kerana ia lebih kepada mempamerkan kreativiti atau ilustrasi pelukis dalam menggambarkan peristiwa sejarah yang berlaku.

Pelajar Sekolah Rendah Mata-mata teruja melihat ilustrasi mengenai sejarah Brunei.
Pelajar Sekolah Rendah Mata-mata teruja melihat ilustrasi mengenai sejarah Brunei.
Pemangku Ketua Pameran memberi penerangan kepada murid-murid Tahun 1 Sekolah Rendah Mata-Mata.
Pemangku Ketua Pameran memberi penerangan kepada murid-murid Tahun 1 Sekolah Rendah Mata-Mata.

“Konsep ini dipilih adalah kerana untuk menarik minat murid-murid sekolah untuk mengetahui sejarah dan keislaman yang ada di negara ini,” tambahnya.

Pameran Bergerak Ristaan Sejarah yang akan berlangsung sehingga Jun ini merupakan salah satu aktiviti tahunan Pusat Sejarah Brunei melalui Bahagian Pameran dan Perkhidmatan sebagai salah satu cara pendekatan bagi memasyarakatkan sejarah Brunei.

Katanya lagi, pameran yang bertema ‘Generasi Celik Sejarah’ ini bukan saja menyasarkan kepada pelajar-pelajar tapi ia juga turut menarik perhatian guru-guru sekolah dan ibu bapa untuk bertukar pandangan dan pendapat.

Pameran yang lebih kepada poster-poster ini disediakan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk memberi peluang kepada guru-guru asing untuk mengetahui sejarah Brunei.

Sementara itu, Guru Bahasa Melayu Sekolah Rendah Mata-Mata Datin Hajah Safarina binti Haji Yahya berkata, pameran bergerak mengenai sejarah Brunei ini merupakan satu usaha yang berguna dalam memberi peluang kepada murid-murid untuk mengetahui sejarah Brunei.

Beliau seterusnya melahirkan harapan berharap supaya poster-poster seperti ini akan dapat diletakan di sekolah-sekolah untuk memberi peluang kepada murid-murid membaca dan dengan adanya pameran ini juga, murid pun menyedari dan mengetahui sejarah Brunei.

“Bagi pihak sekolah, beberapa langkah dan usaha telah dilaksanakan untuk menambah dan memberi pendedahan sejarah Brunei kepada murid antaranya seperti mengadakan ruang negara-negara ASEAN dan salah satunya mengenai Brunei dan di ruangan ini, pihak sekolah akan membekalkan mengenai sejarah, Sultan-sultan Brunei dan juga gambar-gambar untuk menambah lagi minat murid terhadap sejarah Brunei,” tambahnya.

Pameran bergerak ini dihasratkan menjadi platform kepada pelajar sekolah rendah untuk lebih memahami dan meminati mata pelajaran sejarah secara lebih dekat menerusi bahan yang dipamerkan supaya dapat dimanfaatkan dan dijadikan iktibar dan pedoman.

ARTIKEL YANG SAMA