Sejarah unik Brunei daya tarikan pelancong

Sejarah unik Brunei daya tarikan pelancong

Oleh Sim Y. H. & Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Sejarah Negara Brunei Darussalam yang unik khususnya sejarah perkapalan dan maritim negara, dipercayai mampu untuk menjadi daya tarikan pelancong luar negara untuk berkunjung, melawat dan mendekati lagi keunikan budaya serta masyarakat Brunei.

Keunikan sejarah itu boleh diakses oleh orang ramai di Brunei dan juga di seluruh dunia dengan memuat turun aplikasi iPad Kapal Karam Brunei yang bukan sahaja memberikan penerangan mengenai sejarah perkapalan dan signifikannya kepada negara tetapi juga memberikan pengalaman interaktif kepada pengguna.

“Keunikan sejarah maritim Brunei mampu menjadi daya tarikan pelancong dan membuka ruang bagi pelancong untuk mengenali Brunei dengan lebih dekat lagi,” jelas Pengurus Besar, Total E&P Deep Offshore Borneo B.V., Yves Grosjean dalam temu bual bersama Media Permata selepas Pelancaran Aplikasi iPad Kapal Karam Brunei dan Pek Pendidikan yang berlangsung di Muzium Maritim Brunei, Kota Batu, hari ini.

Pelancaran aplikasi dan pek pendidikan itu disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Yves berkata bahawa aplikasi yang baru dilancarkan itu bukan sahaja boleh dimuat turun oleh pengguna di Brunei tetapi juga di seluruh dunia yang mana ia memberi peluang bagi memperkenalkan negara kepada penduduk seluruh dunia untuk mengenali Brunei menerusi kekayaan sejarah maritim negara dan dari itu, menarik minat mereka untuk berkunjung sendiri ke Brunei bagi mengenali negara, budaya, sejarah dan masyarakat Brunei.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melancarkan Pek Pendidikan dan Aplikasi iPad Kapal Karam Brunei di Muzium Maritim Brunei, Kota Batu kelmarin sambil diperhatikan oleh Yves Grosjean (kiri sekali) dan Pengarah Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman (tengah).
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa melancarkan Pek Pendidikan dan Aplikasi iPad Kapal Karam Brunei di Muzium Maritim Brunei, Kota Batu kelmarin sambil diperhatikan oleh Yves Grosjean (kiri sekali) dan Pengarah Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Dr Karim bin Pengiran Haji Osman (tengah).

“Pada awal penghasilan aplikasi ini, ia disasarkan bagi golongan pelajar tetapi apabila kami melihat pada kualiti segala perancangan dan kerja yang telah dilaksanakan, kami berasa ia amat bersesuaian untuk menjadikannya lebih menarik dan boleh diperoleh serta digunakan oleh masyarakat dalam dan luar negara.”

Aplikasi yang dilancarkan itu, ulasnya lagi, memberikan pengalaman yang lebih menarik dan interaktif kepada pengguna termasuk para pelajar sekolah untuk mengenali sejarah penting maritim Brunei.

Ia juga merupakan satu jendala ke dalam sejarah maritim Brunei yang mempunyai signifikan dan amat penting terutama bagi generasi muda mengenai dengan peranan Brunei dalam perdagangan maritim dengan negara-negara luar dari hujung abad ke-15 hingga abad ke-16.

“Saya berharap lebih ramai rakyat dan penduduk Brunei terutama golongan muda akan mempelajari mengenai sejarah negara dengan menggunakan aplikasi ini dan berharap lebih ramai penduduk dunia akan belajar mengenai sejarah kaya Brunei melalui aplikasi ini.”

Pada masa yang sama, beliau menyatakan bahawa pada masa ini, kita mempunyai peluang yang unik untuk menyebarkan maklumat sejarah negara kepada penduduk di seluruh dunia.

Terdahulu dari itu, Yves dalam kata alu-aluannya berkata bahawa Projek Arkeologi Kapal Karam Brunei merupakan satu penemuan yang penting di mana lebih 13,000 artifak telah ditemui dan direkodkan bagi projek yang ditaja oleh Elf Aquitaine sebelum ia bergabung dengan Total di mana kapal karam itu ditemui semasa kerja-kerja kajian bagi laluan paip padang gas eksport Maharaja Lela.

Menurutnya, pelancaran semula pek pendidikan dan aplikasi itu adalah amat bertepatan sekali memandangkan Pek Pendidikan Kapal Karam Brunei pertama diterbitkan pada 2000 di mana edisi terkini bukan sahaja menggunakan teknologi terkini untuk memberikan pengalaman yang unik kepada pelajar di sekolah tetapi ia juga dihasratkan untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Beliau menyatakan harapan bahawa dengan perkongsian ilmu pengetahuan itu bersama golongan muda bukan sahaja menjadi penghubung kepada zaman kegemilangan dahulu negara tetapi akan menjadi inspirasi kepada generasi masa kini untuk mengangkat Brunei ke tahap yang lebih tinggi di dunia masa akan datang.

Penghasilan aplikasi dan pek pendidikan itu merupakan projek tanggungjawab sosial korporat dan komitmen Total E&P Deep Offshore Borneo B.V. dan rakan-rakan kongsi CA1, Petronas Carigali Brunei Ltd dan Murphy Oil Corporation dengan sokongan Brunei National Petroleum Company Sdn Bhd.

Pek pendidikan yang mengandungi sejarah penting Negara Brunei Darussalam melalui penemuan arkeologi itu, akan diberikan kepada semua sekolah untuk dikongsi kepada generasi muda bagi meningkatkan lagi kesedaran mereka mengenai khazanah budaya negara.

Aplikasi itu pula boleh dimuat turun secara percuma menerusi Apple App Store dan Google Play Store di mana ia boleh diakses oleh bukan sahaja pengguna di Brunei tetapi juga di seluruh dunia dan ia memberikan akses kepada sejarah maritim Brunei kepada masyarakat di seluruh dunia.

Aplikasi yang menarik dan interaktif itu dimajukan oleh sebuah syarikat tempatan yang diterajui oleh bakat-bakat tempatan dari MeSixty yang berada di iCentre pada masa ini.

Di samping itu, orang ramai juga berpeluang untuk menyaksikan dan mencuba sendiri pengalaman aplikasi itu di Muzium Maritim Brunei yang ditempatkan di Galeri Kapal Karam Brunei di mana Kiosk iPad di galeri itu telah ditaja oleh Total E&P Deep Offshore Borneo B.V. dan rakan-rakan kongsi CA1, bagi kegunaan para pengunjung.