Sejarawan AS selamatkan warisan Afghan, meninggal dunia

KABUL, Afghanistan, 10 Sept – Seorang sejarawan Amerika yang menghabiskan masanya selama berdekad-dekad di Afganistan berusaha memelihara warisan negara dibelenggu perang itu, meninggal dunia semalam.

Dalam satu kenyataan kerajaan Afghan mengatakan hari ini bahawa Nancy Hatch Dupree yang pertama kali datang ke Afghanistan dalam 1962 dan menghabiskan sebahagian besar hayatnya mengumpul dan mendokumenkan artifak sejarah, meninggal dunia di Kabul semalam pada usia 90 tahun. Ia tidak memberikan punca atau masa tepat kematian.

Dia mengumpulkan sebahagian besar koleksi buku, peta, gambar-gambar malah rakaman musik tradisi yang jarang didengar, semuanya kini ditempatkan di Universiti Kabul, selain menulis lima buku panduan.

Dupree datang ke Afghanistan sebagai isteri seorang diplomat, namun kemudiannya jatuh cinta dengan Louis Dupree, seorang ahli arkeologi dan antropologi. Mereka berkahwin dan tinggal selama berdekad-dekad di Afghanistan, melawat tapak-tapak bersejarah di seluruh negara dan mengesan langkah-langkah penjelajah zaman lama dan mendokumenkan semuanya.

Gambar fail, Nancy Hatch Dupree. – AP

Bersama, mereka menulis buku penerangan mengenai Afghanistan, sebuah ensiklopedia mengenai negara yang mereka angkat sebagai negara mereka sendiri.

Dupree turut kecewa belia di Afghanistan yang kebanyakannya membesar sebagai pelarian di negara-negara jiran semasa berdekad-dekad kekacauan, tidak banyak mengetahui sejarah negara mereka sendiri.

“Terlalu ramai orang muda Afghan lebih tahu mengenai sejarah negara di mana mereka tinggal sebagai pelarian berbanding sejarah negara mereka sendiri,” katanya. – AP