Sejauh mana keberkesanan persatuan pengguna?

Sejauh mana keberkesanan persatuan pengguna?

KUALA LUMPUR – ‘Mahalnya’, mungkin itu adalah ayat yang begitu popular ketika ini dalam kalangan masyarakat sebaik pelaksanaan rasionalisasi harga minyak masak pada 1 Nov lepas.

Tidak ada lagi subsidi bagi minyak masak dalam botol kecuali paket satu kilogram (kg), harga komoditi itu yang sebelum ini antara RM13 hingga RM14.70 bagi botol lima kg kini telah meningkat sehingga RM6 dan RM9, satu kadar disifatkan sangat tinggi.

Penstrukturan semula keperluan asas ini di bawah Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) nyata mengundang keluh-kesah rakyat, tambahan pula harganya ditentukan berdasarkan pasaran semasa. Kekeliruan juga berlaku apabila pengeluar meletakkan harga berbeza biarpun ukurannya sama.

Ini membuatkan rakyat tidak berpuas hati dan lantang disuarakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mendesak diwujudkan satu kaedah atau mekanisme penetapan harga baharu minyak masak.

Rintihan mereka didengari kerajaan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meneliti cadangan NGO berkenaan.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Laily Paim menunjukkan data berkaitan dengan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengguna ketika temubual eksklusif baru-baru ini. – Bernama
Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Laily Paim menunjukkan data berkaitan dengan kesedaran masyarakat mengenai hak mereka sebagai pengguna ketika temubual eksklusif baru-baru ini. – Bernama

Pengiktirafan

Realitinya, kejayaan yang melegakan ramai pihak ini bukanlah yang pertama. Sudah banyak usaha dilakukan persatuan pengguna dalam melindungi hak, kepentingan serta kebajikan pengguna negara ini.

Tidak kiralah isu apa, asalkan ia melibatkan pengguna seperti kenaikan harga barang, perkhidmatan tidak memuaskan, isu keselamatan mahupun undang-undang pastinya di situ akan kedengaran suara NGO.

“Persatuan pengguna adalah satu badan bukan berasaskan keuntungan dan peranannya sangat penting kerana masih ada segelintir besar masyarakat belum berdaya upaya melindungi diri mereka daripada ditindas,” kata Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Laily Paim.

Penglibatan aktif NGO ini mendapat perhatian serius dan penghargaan apabila sering kali menjadi panel dalam pelbagai rundingan pembuat dasar sama ada di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan mahupun kerajaan persekutuan. Jarang sekali mereka diketepikan, malah sebelum pindaan atau penggubalan akta berkaitan pengguna dan pengumuman bajet, perbincangan bersama NGO ini pastinya ada.

Lebih daripada satu?

Bagi tujuan ini, beberapa kata kunci misalnya ‘pengguna’, ‘persatuan pengguna’, ‘perlindungan pengguna’, ‘pembangunan pengguna’, ‘kebajikan pengguna’ dan ‘hak pengguna’ telah digunakan. Hasilnya mendapati begitu banyaknya persatuan pengguna sama ada di peringkat kebangsaan, negeri, daerah mahupun bandar! Malah, ada sesetengah negeri mempunyai lebih daripada satu persatuan pengguna. Sungguh mengejutkan!

Walhal, yang selalu didengari hanyalah Fomca, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea), Pertubuhan Pembimbing Kewangan Pengguna dan Keluarga Malaysia (KPM). Manakala negeri, seperti Persatuan Pengguna-pengguna Pulau Pinang (CAP), Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE) dan persatuan pengguna peringkat daerah seperti Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa).

Selain persatuan khusus dan negeri di bawah Fomca seperti Persatuan Hal Ehwal dan Pelindung Pengguna Sabah (CAPS), Forum Air Malaysia (FAM), Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Pengguna Standard) dan beberapa NGO lain. Mereka inilah yang biasanya popular dalam kalangan media untuk mendapatkan ulasan dan seringkali ke depan melaungkan isu kepentingan pengguna.

Bertindih

Mungkinkah yang lain menjalankan operasi secara senyap? Tetapi, apabila bertanya kepada rakan media yang bertugas di negeri mengenai status sesebuah persatuan pengguna, kebanyakannya menjawab ia tidak berapa aktif. “Kebanyakan NGO negeri ini ditubuhkan sebagai batu loncatan untuk naik dalam politik.

“Sini tidak ada persatuan pengguna. Kalau dapat arahan buat reaksi, selalunya kenyataan orang ramai. Ada satu, dua yang aktif. Tetapi kena berhati-hati kerana ada yang suka hati bagi kenyataan, fakta salah. Yang lain, tidak pernah dengar”. Itu kata-kata mereka sekali gus merungkai persoalan mengenai status NGO ini. Adakah mereka benar-benar aktif atau sekadar memenuhi syarat menghantar penyata tahunan serta adakan menyuarat agung dan pemilihan supaya tidak terbatal pertubuhan?

“Bagi saya, terlalu banyak persatuan mungkin disebabkan faktor geografi, sasaran berlainan termasuklah ada yang fokus seperti pengangkutan. Tetapi, jumlah itu terlalu besar sehinggakan ada nama kita tidak pernah dengar. Persatuan pengguna negeri bagus kerana mudah untuk salurkan aduan. Cuma, janganlah terlalu banyak sehingga lebih daripada satu di sesebuah negeri. Takut bertindih peranannya,” kata Laily kepada Bernama. Lebih baik mempunyai satu persatuan pengguna yang kuat, peruntukan kewangan kukuh dan mempunyai wakil setiap negeri, daerah supaya tidak bertindih dan bersaing antara persatuan lain, jelasnya.

Payung

Bagaimanapun, Laily memper-soalkan mengapa tidak semua persatuan negeri bergabung di bawah Fomca yang ditubuhkan pada 1973? Walhal, tujuan penubuhannya adalah menyelaras dan menjadi badan penasihat kepada semua persatuan pengguna di Malaysia atau dalam erti kata lain ‘payung’ kepada NGO.

Malah, penubuhan Fomca adalah saranan kerajaan yang mahu menghimpunkan suara NGO yang semakin rancak ditubuhkan pada era 70-an menerusi satu suara. Bagaimanapun, hanya 14 persatuan bergabung di bawah Fomca setakat ini dan tujuh daripadanya ialah NGO negeri. Yang lain, persatuan khusus dalam sesuatu bidang.

Menjelaskannya, Yusof berkata walaupun tujuan penubuhan Fomca adalah payung persatuan pengguna di Malaysia, namun ia tidak menjadikan semua NGO yang berdaftar perlu bergabung dengan Fomca. Hanya majlis yang ditubuhkan oleh kerajaan boleh berbuat demikian, tetapi keanggotaannya ditentukan sendiri kerajaan.

“Pada masa ini, masih belum wujud majlis seperti ini. Yang ada, ialah Majlis Gerakan Pengguna Kebangsaan, Majlis Gerakan Pengguna Negeri dan Majlis Gerakan Pengguna Daerah.

“Keanggotaan majlis-majlis ini ditentukan oleh KPDNKK. Gerakan Pengguna Kebangsaan dipengerusikan oleh Menteri KPDNKK dan dianggotai Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Negeri (wakil NGO), Pengarah KPDNKK Negeri dan Pengarah-pengarah Bahagian KPDNKK ibu pejabat. Manakala Gerakan Pengguna Negeri dipengerusikan Pengarah KPDNKK Negeri, dibantu Pengerusi Bersama yang terdiri daripada wakil NGO, sama ada NGO Pengguna atau NGO lain yang dilantik Menteri KPDNKK,” katanya.

Hadkan

Ketika ditanya mengenai jumlah NGO terlalu ramai, Yusof berkata Fomca tidak ada masalah tetapi sebaiknya objektif haruslah jelas dan bukannya sekadar bersuara tetapi tidak ada perjuangan ke arah kepentingan pengguna.

“Ada mempersoalkan mengapa begitu banyak NGO tetapi kes penipuan seperti skim cepat kaya, gores dan menang tetap berlaku. Bagi Fomca, banyak aktiviti kesedaran dilakukan dan berita ini sering kali dilaporkan akhbar.

“Tetapi, pengguna tetap terjebak kerana terpedaya dengan pulangan menarik biarpun ada kesedaran. Selain itu, keberkesanan NGO bergantung sama ada aktif atau tidak mereka ini. Kebiasaannya, kekangan kewangan menyebabkan sukarnya NGO seperti kami mengadakan aktiviti,” katanya.

Malah, peranan NGO adalah terhad. Mereka cuba sedaya upaya seperti menyalurkan aduan atau menyuarakan pandangan sesuatu isu, tetapi penyelesaiannya terserah kepada pihak berkenaan. Bagaimanapun, suara persatuan pengguna masih lagi diperlukan. Mereka sebagai tonggak mewakili naluri rakyat dan benteng daripada begitu mudah ditindas peniaga. Cuma, mungkin sudah tiba masanya jumlah penubuhan itu dihadkan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA