Sejumlah gading gajah dirampas

Sejumlah gading gajah dirampas

HANOI, 26 Ogos (AFP) – Polis Vietnam telah membuat dua rampasan besar gading gajah yang diimport secara haram dalam tempoh beberapa hari lalu, menurut media setempat hari ini.

Laman berita VNExpress berkata polis kastam di pelabuhan tengah Danang Tien Sa semalam menemui “sejumlah besar gading gajah dan sisik tenggiling disembunyikan dalam 19.5 tan kacang merah dalam kontena yang telah tiba dari Malaysia.”

Jumlah berat gading gajah belum dikira, tambah laporan.

Pada akhir minggu lalu, polis juga merampas dua tan gading gajah dari Nigeria, lapor media negeri. Komunis Vietnam telah lama dituduh menjadi salah sebuah negara paling teruk di dunia kerana perniagaan dalam spesies terancam.

Pada awal bulan ini, polis merampas lebih 700 kilogram tanduk badak dan gading gajah yang dipercayai berasal dari Mozambique. Terdapat beberapa kempen untuk mengingatkan penduduk Vietnam supaya jangan menggunakan produk daripada haiwan terancam tetapi gagal mencatat kejayaan.

Gading dan bahagian badan lain gajah adalah amat berharga sebagai perhiasan, sebagai azimat dan digunakan dalam ubat tradisional di seluruh kawasan Asia.

Di Vietnam, satu kilogram gading gajah dijual dengan harga AS$2,100 di pasaran gelap.

Sisik tenggiling juga bernilai dalam ubat tradisional China, di mana mereka digunakan untuk merangsang tenaga batin dan merawat alergi, tetapi aktivis berkata khasiat kesihatan itu merupakan satu mitos.

Kulit tenggiling juga digunakan dalam aksesori fesyen di Asia dan dagingnya dianggap makanan istimewa di China dan Vietnam.

Perniagaan antarabangsa dalam gading telah diharamkan sejak 1989 ekoran kemerosotan dalam jumlah gajah Afrika daripada berjuta-juta ekor pada pertengahan abad ke-20 kepada 600,000 pada akhir tahun 1980.

ARTIKEL YANG SAMA