Sek. St James lancar laman web rasmi

Sek. St James lancar laman web rasmi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 21 Jun – Sekolah St James, Kuala Belait, kelmarin, telah melancarkan laman sesawang rasmi sekolah berkenaan bagi meningkatkan komunikasi di antara sekolah dengan para ibu bapa pelajar serta masyarakat sekeliling.

Perasmian laman sesawang berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pentadbiran Sekolah St James Kuala Belait, Awang Humphrey Chin.

Turut hadir menyaksikan majlis pelancaran itu ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pentadbiran, Awang Andrew Wong, ahli Lembaga Pentadbiran, Awang Daningo E. Caayao, Pengetua sekolah, Haji Mohd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun serta guru dan kakitangan pentadbiran Sekolah St James Kuala Belait.

Awang Humphrey ketika ditemui berkata laman sesawang rasmi ini diharap akan menjadi batu loncatan dalam usaha menambah baik komunikasi di antara pihak sekolah dengan para ibu bapa pelajar serta masyarakat di sekelilingnya.

“Kandungan laman web ini adalah asas di mana kita menyebarkan maklumat kepada masyarakat tentang segala aktiviti yang kita lakukan di sekolah, pengenalan kepada sekolah ini termasuk sejarahnya sehingga kepada infrastruktur pelajaran serta kemudahan yang sedia ada di sini,” jelasnya.

Humphrey Chin (duduk) bergambar ramai bersama ahli-ahli Lembaga Pentadbiran dan guru-guru Sekolah St James.
Humphrey Chin (duduk) bergambar ramai bersama ahli-ahli Lembaga Pentadbiran dan guru-guru Sekolah St James.

Beliau seterusnya menyatakan bahawa pihak sekolah akan sentiasa membangunkan laman web sekolah ini sebagai peneraju dalam memberi pengetahuan kepada para ibu bapa yang ingin menyediakan asas pelajaran terbaik bagi anak-anak mereka yang akan memulakan zaman persekolahan nanti.

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan harapan untuk melihat para ibu bapa pelajar menggunakan laman web tersebut sebagai platform untuk memberi maklum balas serta pendapat mengenai sebarang penambahbaikan yang ingin dilihat di sekolah berkenaan.

Sementara itu, pereka laman web berkenaan, Awang Marvin Aripin Abbilani, ketika ditemui menjelaskan antara isi kandungan menarik adalah Pendaftaran Alumni Sekolah bagi mana-mana bekas pelajar yang pernah belajar di Sekolah St. James Kuala Belait.

Muka depan laman sesawang Sekolah St James Kuala Belait yang baru sahaja dilancarkan.
Muka depan laman sesawang Sekolah St James Kuala Belait yang baru sahaja dilancarkan.

“Mana-mana bekas pelajar sekolah ini adalah amat dialu-alukan untuk mendaftar, serta tarikh mereka bermula bersekolah di Sekolah St James Kuala Belait sehingga mereka habis Tahun 11,” ujar Awang Marvin.

Beliau juga menambah, selain daripada butir-butir maklumat bagi menghubungi sekolah tersebut, laman web ini juga memaparkan maklumat mengenai syarat-syarat kemasukan ke sekolah berkenaan serta pencapaian akademik para pelajar-pelajar di peringkat-peringkat peperiksaan seperti PSR, SPE dan GCE ‘O’ Level.

Laman web rasmi Sekolah St James Kuala Belait boleh dilayari di www.stjamesbrunei.edu.bn.

ARTIKEL YANG SAMA