Sek. St John terima sumbangan komputer

Sek. St John terima sumbangan komputer

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 30 Julai – Masalah mempunyai komputer yang sudah terlalu lama untuk kemudahan pelajar di Sekolah St John, sedikit sebanyak dapat diatasi apabila menerima sumbangan sebanyak 10 set komputer daripada Syarikat Damit Worley Parsons Engineering Sdn Bhd, hari ini.

Pada majlis yang diadakan di dewan serba guna sekolah itu, sumbangan disampaikan oleh Pengurus Sumber Manusia Syarikat Damit Worley, Haji Hamdan bin Haji Abdul Hamid kepada Timbalan Pengetua, T Ramachandaran.

Turut hadir ialah Pengurus IT Syarikat Damit Worley, Dayang Halimatul Mardziah binti Ahmad dan Pentadbir IT Syarikat Damit Worley, Dayang Nurfarahiyah binti Haji Murni dan Dayang Hamizah binti Husaini.

Haji Hamdan semasa ditemui Media Permata memberitahu, syarikat tersebut telah ditubuhkan sejak tahun 1989, dan sumbangan komputer itu merupakan antara projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat kepada keperluan berbagai pihak di negara ini.

Menurutnya, guru-guru sekolah tersebut pernah memaklumkan mereka bahawa kebanyakkan daripada kemudahan komputer yang terdapat di sekolah telah rosak kerana sudah berusia terlalu tua, dan tidak begitu sesuai lagi digunakan oleh pelajar masa kini.

Haji Hamdan menyerahkan sumbangan komputer kepada T Ramachandaran.
Haji Hamdan menyerahkan sumbangan komputer kepada T Ramachandaran.
Gambar ramai pelajar, guru dan Timbalan Pengetua Sek St John bersama wakil-wakil daripada Syarikat Damit Worley Parsons Engineering Sdn Bhd.
Gambar ramai pelajar, guru dan Timbalan Pengetua Sek St John bersama wakil-wakil daripada Syarikat Damit Worley Parsons Engineering Sdn Bhd.

“Hari ini kami menyerahkan sebanyak lima unit komputer, manakala dalam masa terdekat akan menyerahkan lagi lima unit komputer terpakai, untuk ditempatkan di bilik makmal IT sekolah ini, dan bagi keperluan pelajar-pelajar mereka,” kata Haji Hamdan.

Beliau juga menyatakan, pada Mac lalu, mereka juga telah menyumbangkan 10 unit komputer terpakai kepada Pejabat Daerah Belait, dan sumbangan kepada Sekolah St John merupakan yang kedua dalam projek yang telah dilaksanakan bagi tahun ini.

Sementara itu, T Ramachandaran pula memberitahu, mereka pernah menerima sumbangan komputer daripada Syarikat BSP Sdn Bhd pada tahun 2005 dan sekolah sendiri mempunyai komputer yang telah berusia lebih 11 tahun sejak tahun 2004, dan banyak juga yang telah rosak.

“Sekolah kami mempunyai lebih 800 pelajar, dan dua buah Makmal IT yang digunakan untuk pelajar-pelajar Tadika hingga peringkat menengah. Dengan adanya sumbangan yang kami terima hari ini, akan dapat membantu banyak keperluan pembelajaran IT kepada pelajar kami, yang selama ini hanya menggunakan komputer yang sudah lama, terutama sekali dari segi sistem dan pengisiannya dan sebagainya,” katanya.

Haji Hamdan kemudiannya memberitahu, syarikat mereka akan terus memberikan bantuan yang diperlukan oleh sekolah tersebut, semata-mata untuk memberikan kemudahan pembelajaran kepada para pelajar di sekolah tersebut dari semasa ke semasa.

ARTIKEL YANG SAMA