Sekatan Israel perlu dihapuskan

Sekatan Israel perlu dihapuskan

BANDAR GAZA, 7 Ogos (AFP) – Kumpulan Hamas kelmarin memberi amaran akan kembali melancarkan serangan melainkan Israel menarik balik sekatan ke atas Gaza.

Kata dua itu dikeluarkan pada majlis tamat latihan ketenteraan untuk 25,000 warga Gaza.

“Hari ini (kelmarin) mesej kami sangat jelas, kami tidak menerima sekatan (Israel),” ujar pemimpin kanan Hamas, Mahmud Zahar. Hamas yang memerintah Genting Gaza telah mengadakan rundingan tidak langsung dengan Israel berkaitan gencatan senjata jangka panjang sebagai balasan untuk menamatkan sekatan sembilan tahun itu.

“Hapuskan sekatan kerana kami tidak akan dapat menghalang pejuang Gaza yang ingin mempertahankan wilayah mereka daripada kumpulan yang telah memusnahkan kediaman dan membunuh anak-anak mereka (Israel),” ujarnya.

Sayap tentera Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam memberitahu, para peserta menghabiskan masa dua minggu untuk menjalani latihan ketenteraan dan menembak peluru hidup. Mereka juga belajar teknik menyelamat.

Hamas sebelum ini mengadakan kem musim panas yang menumpukan kepada aktiviti kesukanan dan pengajian al-Quran di Gaza tetapi sepanjang musim sejuk tahun lepas, ia mengadakan latihan ketenteraan kepada remaja berusia 15 hingga 20 tahun.

“Kami akan membesar dan mampu mempertahankan diri dan penduduk kami,” ujar seorang peserta, Moatassem, 15, yang menyertai kem itu supaya dapat mempertahankan Gaza.

Perang selama 50 hari yang bermula pada Julai hingga Ogos 2014 telah membunuh 2,200 warga Pa­lestin dan 73 penduduk Israel.

ARTIKEL YANG SAMA