Sekatan ke atas dua ‘pengganggu’ damai

Sekatan ke atas dua ‘pengganggu’ damai

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), 5 Jun (AFP) – Britain, Perancis, Sepanyol dan Amerika Syarikat berusaha mendapatkan resolusi sekatan PBB ke atas dua warga Libya yang dituduh menghalang rundingan badan dunia itu mengenai pembentukan kerajaan perpaduan kebangsaan, menurut para diplomat semalam.

Permintaan itu dibuat tatkala Utusan PBB, Bernardino Leon berhempas pulas untuk memastikan perjanjian dicapai mengenai kerajaan perpaduan kebangsaan sebelum bermulnya bulan Ramadan pada 17 Jun, dengan pembukaan rundingan pusingan baru yang penting di Rabat pada Isnin.

Keempat-empat Negara berkenaan meminta bahawa pengharaman perjalanan global dan pembekuan aset dilaksanakan ke atas Abdul Rahman Swehli, ahli politik dari Misrata, dan Othman Maliqta, komander Briged Zintani Qaqa.

Jawatankuasa sekatan PBB memberikan tempoh kepada 15 anggota Majlis Keselamatan sehingga jam 3:00 petang (1900 GMT) Jumaat untuk mengemukakan bantahan kepada cadangan sekatan tersebut.

Jika tiada sebarang bantahan dikemukakan, kedua-dua warga Libya berkenaan akan disenaraihitamkan.

“Dengan mencadangkan tindakan ini, majlis akan menghantar isyarat jelas bahawa mereka yang mengganggu proses politik tidak akan diberikan tolak ansur,” kata misi AS dalam surat kepada jawatankuasa sekatan, yang diperoleh AFP.

Dua warga Libya itu tidak dianggap berprofil tinggi, tetapi keputusan untuk menyasarkan mereka dahulu bertujuan menghantar mesej kepada lebih ramai para pegawai rangking tinggi bahawa mereka perlu bersama-sama ke arah kebaikan.