Sekatan Korea U dikekalkan

NEW YORK, 13 Mac – Amerika Syarikat (AS) semalam menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya mengekalkan sekatan ke atas Korea Utara sehingga terdapatnya perkembangan sebenar ke arah pembatalan program senjata nuklear Pyongyang.

Penasihat Keselamatan Negara AS H.R. McMaster bertemu dengan duta majlis di New York, beberapa hari selepas Presiden Donald Trump bersetuju bagi mesyuarat sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

“Kami semua bersetuju bahawa kami berasa optimis mengenai peluang ini,” beritahu McMaster kepada wartawan selepas mesyuarat tertutup pada misi AS ke PBB.

“Namun kami bertekad untuk meneruskan kempen yang bertujuan untuk mengenakan tekanan maksimum sehingga kami melihat kata-kata seiring dengan tindakan dan kemajuan sebenar ke atas pembebasan senjata nuklear.”

Trump minggu lalu telah bersetuju untuk mengadakan pertemuan pertama dengan Kim, yang bermungkinan diadakan pada lewat Mei, sekali gus menambah harapan bahawa satu kejayaan diplomatik akan dicapai selepas kedua-dua pemimpin menghabiskan masa berbulan-bulan dengan melempar kata-kata makian dan ugutan antara satu sama lain.

Nikki Haley (kanan) bersama H.R. McMaster di PBB untuk menghadiri pertemuan bersama Setiausaha Agung PBB Antonio Guteres di New York, kelmarin. – AFP

Ketika pertemuan bersama duta, McMaster merujuk kepada tiga resolusi sekatan PBB yang diluluskan oleh majlis sebagai kunci dalam kempen untuk membawa Korea Utara ke meja rundingan, menurut diplomat majlis.

McMaster berkata majlis telah menunjukkan “perpaduan dan keazaman yang mana kami mungkin berupaya mencapai satu penyelesaian diplomatik mengenai pembebasan nuklear sepenuhnya di semenanjung Korea.”

Majlis Keselamatan telah mengenakan sekatan ekonomi dengan tujuan untuk menyekat pendapatan yang disalurkan ke atas program

ketenteraan Pyongyang selepas rejim Kim menjalankan ujian nuklear yang keenam dan beberapa siri pelancaran peluru berpandu.

Resolusi sekatan sebulat suara diluluskan berikutan rundingan bersama China, sekutu Pyongyang.

Duta AS Nikki Haley memuji China, berkata Beijing yang ‘banyak membantu’ dalam usaha untuk mengenakan sekatan dan turut memetik Korea Selatan dan Jepun. – AFP