Sekatan pengimportan makanan dari Jepun ditarik balik

Sekatan pengimportan makanan dari Jepun ditarik balik

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Penggantungan pengimportan makanan dan produk makanan berupa daging, buah-buahan, sayur-sayuran, makanan laut serta susu dan produk tenusu dari Daerah Fukushima, Jepun sejak Februari tahun lalu kini ditarik balik.

Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dalam kenyataan bersama mereka hari ini berkata, perubahan tersebut adalah berdasarkan pemantauan berterusan, penelitian mengenai situasi terkini dan maklumat yang diterima dari negara-negara serantau dan pertubuhan-pertubuhan antarabangsa oleh kedua-dua kementerian terbabit.

Bagaimanapun, para pengimport yang hendak mengimport produk-produk makanan berkenaan dari Negara Jepun adalah dikehendaki untuk mematuhi beberapa syarat di mana produk-produk makanan dan ramuan yang berasal khusus dari Daerah Fukushima perlu menghadapkan Borang Deklarasi Pengimportan Makanan ke Negara Brunei Darussalam dan Laporan Analisa Bahan Radioaktif.

Manakala bagi produk-produk makanan dan ramuan yang berasal dari daerah selain Daerah Fukushima diperlukan untuk menghadapkan Borang Deklarasi Pengimportan Makanan Ke Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan itu lagi, syarat-syarat pengimportan tersebut adalah syarat-syarat tambahan bagi produk-produk yang berasal dari Jepun dan syarat-syarat pengimportan yang sedia ada di bawah kawalan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan hendaklah dipatuhi.

Syarat-syarat yang ditetapkan ini juga akan diteliti dari semasa ke semasa. Langkah-langkah tersebut diambil adalah untuk memastikan bahawa makanan yang diimport ke negara ini adalah selamat untuk dimakan dan bebas daripada bahan radioaktif.

Orang ramai yang ingin mendapat keterangan lanjut boleh menghubungi Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Pusat Pemeriksaan Kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan, Jalan Delima Dua, Berakas atau menelefon 2331100-5/06/08/09/10.

ARTIKEL YANG SAMA