Sekolah Arab Belait muncul juara Pertandingan Kuiz PSR

Sekolah Arab Belait muncul juara Pertandingan Kuiz PSR

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Ogos – Sekolah Arab Belait muncul juara dalam Peringkat Akhir Pertandingan Kuiz Penilaian Sekolah Rendah (PSR) kali ke-5 setelah menewaskan pihak lawannya yang berlangsung di Sekolah Arab Belait, hari ini.

Dalam pertandingan itu, Sekolah Arab Belait berjaya mengumpul 152 markah berbanding 130 markah yang dikumpulkan oleh pesaingnya, Sekolah Persediaan Arab BSB.

Sebanyak lima buah Sekolah Arab telah menyertai pertandingan itu terdiri dari Sekolah Arab Belait yang muncul juara, kemudian diikuti oleh Sekolah Persediaan Arab, BSB; Sekolah Arab Sungai Akar, BSB; Mahad Islam Brunei, Tutong; dan Sekolah Arab Temburong.

Guru Besar sekolah berkenaan, Hajah Nooramalina binti Haji Mohd Ali berkata, pertandingan kuiz ini adalah sebagai satu latihan ulang kaji dan persiapan sebelum menghadapi peperiksaan PSR dan untuk menguji minda pelajar dalam mata pelajaran PSR iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Melayu Islam Beraja.

Guru-guru bergambar ramai bersama para pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan kuiz itu.
Guru-guru bergambar ramai bersama para pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan kuiz itu.
Para pelajar yang menyertai pertandingan kuiz giat mencari jawapan bagi salah satu soalan yang diberikan.
Para pelajar yang menyertai pertandingan kuiz giat mencari jawapan bagi salah satu soalan yang diberikan.

Katanya, menerusi pertandingan ini, para pelajar yang terbabit akan dapat memupuk sifat keyakinan diri untuk berani tampil di khalayak ramai, merangsang pelajar untuk berdaya saing secara sihat melalui cara berkumpulan dan memupuk semangat bekerjasama dan mengeratkan silaturahim di kalangan pelajar dan guru-guru sekolah-sekolah Arab lain.

“Antara objektif pertandingan kuiz ini adalah untuk membantu para murid dan menggalakkan penglibatan mereka dalam kegiatan kokurikulum serta menanai kesedaran pengalaman pembelajaran luar kelas serta menguji kecekapan akal fikiran mereka semasa menjawab soalan-soalan dalam masa yang singkat,” tambah beliau.