Sekolah Arab Belait terima kunjungan menteri

Oleh Normazlina M.D

 

KUALA BELAIT, 4 Jan – Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman hari ini meneruskan lawatan kerjanya ke Sekolah Arab Belait, Daerah Belait.

Turut menyertai lawatan tersebut ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Pengarah Pentadbiran KHEU, Haji Zulkifli bin Panglima Asgar Dato Paduka Haji Abdullah dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Dayang Hajijah binti Haji Moktal.

Ketibaan Yang Berhormat Pehin berserta rombongan, pagi tadi, telah dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Noramalina binti Haji Ali berserta guru-guru dan kakitangan sekolah.

Dalam lawatan tersebut, Yang Berhormat Pehin berkesempatan menyaksikan kaedah pengajaran dan program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah seperti pembelajaran secara kreatif/imaginasi dalam menyelesaikan soalan matematik yang berunsurkan aplikasi, kuiz dan uji cuba secara berkelompok dalam pembelajaran sains dan juga kaedah pembinaan ayat Bahasa Arab.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin juga telah mendengarkan taklimat ‘Pelan Perkembangan Sekolah bagi Tahun 2017’ yang disampaikan oleh Hajah Noramalina.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan lawatan di Surau Sekolah Arab Belait.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan lawatan di Surau Sekolah Arab Belait.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan lawatan di Surau Sekolah Arab Belait.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa mengadakan lawatan di Surau Sekolah Arab Belait.
Ruang depan bangunan Sekolah Arab Belait.
Ruang depan bangunan Sekolah Arab Belait.

Inisiatif yang diaplikasikan oleh pimpinan Sekolah Arab Belait dalam meningkatkan pencapaian pelajar meliputi kaedah penilaian, tunjuk ajar, perkongsian dan penglibatan ibu bapa, kelas-kelas intensif, pembelajaran kerjasama dan program pemantapan rohani.

Pada tahun ini, Sekolah Arab Belait mempunyai seramai 199 orang pelajar iaitu 96 orang pelajar lelaki dan 103 orang pelajar perempuan.

Lawatan dan tinjauan Yang Berhormat Pehin itu adalah bagi menzahirkan keprihatinan dan sokongan KHEU atas usaha-usaha Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan pimpinan sekolah-sekolah Arab di daerah-daerah terhadap segala persiapan, penilaian, strategi dan sasaran pihak sekolah dalam mengekalkan dan meningkatkan lagi trek rekod pencapaian cemerlang sekolah dalam peperiksaan-peperiksaan khasnya Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR).