Sekolah Arab sasar 100 peratus

Sekolah Arab sasar 100 peratus

Oleh Normazlina M.D

 

KUALA BELAIT, 4 Jan – Sasaran sekolah-sekolah Arab di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini terutama pelajar-pelajar yang akan menduduki Peperiksaan PSR adalah 100 peratus mendapat keputusan A hingga C berbanding tahun lepas yang mana sekolah-sekolah Arab telah pun mencapai 97 peratus.

Ke arah merealisasikan sasaran tersebut, Jabatan Pengajian Islam (JPI) sedang melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha dalam menjadikan pelajar-pelajar sekolah Arab itu cemerlang dalam keputusan Peperiksaan PSR.

Pemangku Pengarah JPI, Dayang Hajijah binti Haji Moktal berkata, antara usaha yang dilaksanakan ialah menyediakan kemudahan pembelajaran yang kondusif dan selesa yang akan memberi pengaruh kepada pelajar, memantau tenaga pengajar serta memberikan keperluan bimbingan atau latihan kepada guru-guru.

Menyentuh mengenai hala tuju pelajar-pelajar sekolah Arab, beliau menjelaskan, pelajar-pelajar yang menamatkan pembelajaran setelah Peperiksaan BGCE ‘O’Level dan SPUB (Sijil Pelajaran Ugama Brunei) serta mempunyai potensi dan cemerlang, mereka akan ditawarkan Skim Biasiswa Khas ‘A’ Level.

“Skim tersebut menawarkan pelajar-pelajar melanjutkan pengajian mereka di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) untuk mengikuti pengajian ‘A’ level selama dua tahun dan seterusnya melanjutkan pengajian mereka ke United Kingdom (UK) mengikut bidang-bidang yang diperlukan dan ditawarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU),” katanya semasa ditemu bual oleh Media Permata hari ini.

Dayang Hajijah ketika ditemubual Media Permata.
Dayang Hajijah ketika ditemubual Media Permata.
Guru Besar Sekolah Arab Belait, ketika ditemu bual.
Guru Besar Sekolah Arab Belait, ketika ditemu bual.

Menurut Dayang Hajijah, kebanyakan pelajar yang mengikuti Skim Khas ‘A’ Level ini terdiri daripada mereka yang diikat janji menjadi pendidik.

Ini kerana, setelah mereka selesai belajar, mereka diminta berkhidmat sebagai pendidik dan ada sebilangan pelajar telah diikat janji menjadi doktor dalam bidang perubatan, katanya lagi, sambil menambah setakat ini tiga orang pelajar dari sekolah Arab kini sedang mengikuti pembelajaran dalam bidang perubatan di UK dan Ireland.

Manakala itu, bagi mereka yang tidak terpilih mengikuti Skim Khas ‘A’ Level berkenaan, pelajar-pelajar boleh menyambung pembelajaran mereka ke tingkatan enam atas sama ada di Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah yang menawarkan tiga jurusan/aliran iaitu Aliran Arab di mana pelajar-pelajar boleh memilih jurusan Syariah atau Usuluddin atau Bahasa Arab.

Melalui aliran ini, pelajar hanya menduduki Peperiksaan Sijil Tertinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) ataupun Aliran Sains iaitu pelajar-pelajar akan menduduki Peperiksaan BGCE ‘A’ Level sahaja atau memilih kedua-kedua jurusan iaitu Aliran Ugama dan Aliran Sains yang mana pelajar-pelajar akan menduduki Peperiksaan STPUB dan BGCE ‘A’ Level.

Mengulas mengenai pelajar-pelajar yang berkeinginan melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi, Dayang Hajijah berkata, mereka berpeluang memilih untuk melanjutkan pengajian sesuai dengan aliran dan keputusan mereka sebanding dengan biasiswa yang dikhususkan oleh KHEU dan Kementerian Pendidikan yang mana pelajar-pelajar boleh memilih sama ada mereka ingin meneruskan pengajian mereka di universiti luar negara dan dalam negara mengikut bidang yang ditawarkan.

Selain menawarkan pelajar sebagai pendidik ataupun menjadi doktor perubatan, sekolah Arab juga mampu melahirkan pelajar-pelajar cemerlang dalam bidang agama dan akademik bahkan sebilangan mereka juga cemerlang dalam bidang perundangan sama ada undang-undang sivil atau syariah yang mana sebilangan pelajar sekolah Arab sudah pun berkhidmat di mahkamah-mahkamah syariah dan sivil di negara ini.

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Arab Belait, Hajah Nuramalina binti Haji Mohd Ali pula berkata, sekolah Arab mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mana kebanyakan pelajar-pelajarnya telah berjaya, bukan sahaja tertumpu kepada bidang keagamaan semata-mata bahkan lebih menjurus kepada luar bidangnya.

Pada setakat ini, Sekolah Arab Belait mempunyai kelas daripada Tahun 5 hingga Tahun 8 dan apabila mereka melanjutkan pelajaran ke Tahun 9, pelajar-pelajar akan disalurkan ke Sekolah Menengah Arab Katok bagi pelajar perempuan dan Mahad Islam Tutong bagi pelajar lelaki, jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA