Sekolah Bakti Dewa adakan majlis khatam

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Bakti Dewa

 

BANDAR SERI BEGAWAN – Sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, Sekolah Bakti Dewa, Cawangan Berakas dan Jerudong baru-baru ini telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran di cawangan masing-masing.

Seramai 15 orang guru-guru dan kakitangan Sekolah Bakti Dewa Berakas berserta 76 orang murid ikut serta dalam majlis tersebut.

Hadir selaku tetamu khas ialah Pengasas Sekolah Bakti Dewa, Pengiran Hajah Mariam binti Pengiran Haji Ahmad @ Pengiran Haji Dewa Ahmad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Mohamad Idi bin Abu Bakar, diikuti dengan bacaan surah-surah lazim dan bacaan Doa Khatam.

Antara para peserta khatam yang terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Bakti Dewa.
Antara para peserta khatam yang terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Bakti Dewa.

Majlis juga diselajurkan dengan sumbangan derma kepada anak-anak yatim bagi keperluan harian dan persiapan Hari Raya Aidilfitri yang telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis serta Pemangku Pengetua Bakti Dewa, Cawangan Berakas, Pengiran Hajah Masratu binti Pengiran Mohd Said.

Turut menyumbangkan sumbangan ialah Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd). Majlis seumpamanya ini diadakan antara lain bertujuan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan yang mulia dan menyahut seranan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi menjadikan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.