Sekolah baru RM3 juta ganti SK Kg. Buda

Sekolah baru RM3 juta ganti SK Kg. Buda

KUCHING, 9 Jun – Kerajaan negeri Sarawak meluluskan kawasan seluas tiga hektar untuk membina sekolah baharu bagi menempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buda di Spaoh selepas 80 peratus bangunan sekolah itu musnah akibat hakisan tebing Sungai Saribas pada 2.45 pagi semalam.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata sekolah baharu itu yang terletak 2.5 kilometer dari sekolah asal, dibina dengan anggaran kos RM3 juta.

Bagi menyegerakan pembinaan sekolah itu, beliau berkata ia akan dibina menggunakan teknik Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan sistem itu telah digunakan bagi pembinaan enam sekolah di negeri itu.

Fatimah berkata demikian pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Doughlas Uggah Embas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas Mohd Razi Sitam dan Pengarah Pendidikan Negeri Rakayah Madon di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

“Ini adalah langkah jangka panjang yang kami telah bincangkan dan dipersetujui oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Bagi langkah jangka pendek, 73 murid dan tiga guru di sekolah itu akan menyambung pembelajaran mereka di sekolah berhampiran, iaitu di SK Paoh pada sesi tengah hari,” katanya.

Fatimah yang turut bertanggungjawab dalam soal pendidikan di negeri itu berkata terdapat 486 sekolah berisiko tinggi di negeri itu.

“Ia berisiko tinggi kerana dibina di kawasan banjir, lokasi di tebing sungai, di atas gunung atau kedudukannya sebelah gunung dan berisiko hakisan tanah,” katanya.

Beliau berkata senarai sekolah itu telah dihantar ke Kementerian Pendidikan dan beliau berharap mendapat maklum balas segera untuk menggantikan sekolah berkenaan. – Bernama