Sekolah buangan kini rebutan ibu bapa daftar anak belajar

Sekolah buangan kini rebutan ibu bapa daftar anak belajar

TAWAU, 4 Jan (Bernama) – Sejak 14 tahun lalu Sekolah Kebangsaan Bahagia di sini digelar ‘sekolah buangan’ kerana menerima lebihan pelajar dari sekolah lain namun kini menjadi rebutan ibu bapa untuk mendaftarkan anak-anak mereka belajar.

Guru besarnya Ismail Banchir ketika ditemui Bernama berkata walaupun pernah digelar sebagai ‘sekolah buangan’ namun itu tidak menghalang SK Bahagia mencipta nama dan menjadi antara sekolah terbaik di Sabah sekali gus kini menjadi faktor utama ibu bapa tertarik mendaftarkan anak-anak mereka belajar di sekolah berkenaan.

“Dua tahun berturut-turut, sekolah ini antara 10 sekolah terbaik dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi tahun 2014 dan 2015 di seluruh Sabah,” katanya di sini hari ini.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bahagia, Tawau, mengaminkan doa yang dibacakan guru agama sekolah itu sebelum bermulanya sesi taklimat sesi persekolahan 2016, di dewan sekolah itu, kelmarin. – Bernama
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bahagia, Tawau, mengaminkan doa yang dibacakan guru agama sekolah itu sebelum bermulanya sesi taklimat sesi persekolahan 2016, di dewan sekolah itu, kelmarin. – Bernama

Dalam pada itu katanya, sejak tiga tahun lalu Jabatan Pendidikan Daerah Tawau melaksanakan penetapan kawalan kemasukan bagi pelajar baharu Tahun Satu di SK Bahagia yang terletak di Jalan Kampung Muhibbah Raya di sini.

Menurutnya ekoran itu, pihak sekolah terpaksa menolak sebahagian besar permohonan ibu bapa memandangkan jumlah yang boleh didaftarkan ke sekolah ini adalah terhad 100 murid baharu sahaja.

Sementara itu Ismail berkata, warga SK Bahagia akan terus berusaha menyuntik kecemerlangan dalam pelajaran serta aktiviti kokurikulum di sekolah itu.