Sekolah Chung Hwa dahului kejohanan sekolah rendah

Sekolah Chung Hwa dahului kejohanan sekolah rendah

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Mei – Sekolah Chung Hwa, Tutong berjaya merangkul juara keseluruhan bagi Kejohanan Olahraga Peringkat Akhir bagi Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Tutong 1 dengan meraih sembilan pingat emas, empat pingat perak dan satu pingat gangsa.

Juara keseluruhan bagi Kategori Lelaki ialah dari Sekolah Rendah (SR) Kampung Menengah dengan mengumpul jumlah keseluruhan empat pingat emas dan bagi Kategori Perempuan pula dimenangi oleh Sekolah Chung Hwa Tutong dengan mengumpul lapan pingat emas.

Manakala bagi Kategori Olahragawan Terbaik pula dimenangi oleh Zavier Ik Yang Jun dari Sekolah Chung Hwa, Tutong dan Olahragawati Terbaik ialah Dayang Dhiya Amanah binti Dahalan juga dari Sekolah Chung Hwa, Tutong. Sementara itu, SR Lamunin pula menjadi juara perbarisan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada kejohanan tersebut pagi tadi ialah Pegawai Pelajaran/Pegawai Kluster 5 di Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Awang Omarali bin Mohd Tahir.

Sebanyak 16 buah sekolah-sekolah rendah (Kerajaan dan swasta) kawasan Tutong 1 telah menyertai kejohanan yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan, Daerah Tutong.

Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Olahragawan Terbaik kepada Zavier Ik Yang Jun dari Sekolah Chung Hwa, Tutong.
Tetamu kehormat menyampaikan hadiah Olahragawan Terbaik kepada Zavier Ik Yang Jun dari Sekolah Chung Hwa, Tutong.

Sebanyak tujuh acara larian telah dipertandingkan iaitu larian 100M, 200M, 400M, 800M, 1500M, 4x100M dan 4x400M dan tiga acara padang seperti Acara Buang Peluru, Rejam Lembing dan Lempar Cekera bagi murid-murid lelaki dan perempuan dalam kejohanan yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Mei yang lalu.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui cawangan Daerah Tutong dan dikendalikan oleh SR Lamunin selaku tuan rumah.

Ianya merupakan salah satu kegiatan projek tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum cawangan Daerah Tutong bagi menjalinkan hubungan silaturrahim dalam kalangan murid-murid dan guru-guru sekolah rendah kawasan Tutong 1.

Di samping itu, kejohanan ini juga diharap akan dapat mengembangkan daya saing yang sihat serta membina jasmani dan rohani yang mantap dan meningkatkan lagi disiplin para peserta.

ARTIKEL YANG SAMA