Sekolah Chung Hwa tonjol kehebatan

Sekolah Chung Hwa tonjol kehebatan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Sekolah Menengah Chung Hwa (CHMS) terselamat daripada kebangkitan Sekolah Rendah (SR) Mabohai pada dua suku masa terakhir perlawanan sebelum mampu riang melakar kemenangan 13-6 untuk muncul juara Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan dan Pendidikan Swasta Kawasan Brunei I 2016.

Bukan itu saja, pemain Goal Attack (GA – Penyerang Gol) CHMS iaitu Ling Yi Xuan telah diumumkan selaku penerima Anugerah Pemain Terbaik kejohanan.

Tempat ketiga bagi kejohanan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu pula telah disandang oleh SR Saba Darat yang berjaya menewaskan SR Sungai Kebun 15-5 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Menyempurnakan penyampaian hadiah kepada empat pasukan terbaik dan pemain terbaik kejohanan ialah Working Group Kluster 2, Dayang Jaliah binti Abdullah Ulat.

Pada perlawanan akhir, CHMS nampak mudah mengatasi SR Mabohai apabila bijak menggunakan kelebihan ketinggian para pemainnya untuk menerajui suku masa pertama 4-0 sebelum menambah tujuh jaringan lagi pada suku masa kedua untuk jauh mendahului 11-0.

Dayang Jaliah (tengah) bersama empat pasukan terbaik, CHMS, SR Mabohai, SR Saba Darat dan SR Sg Kebun.
Dayang Jaliah (tengah) bersama empat pasukan terbaik, CHMS, SR Mabohai, SR Saba Darat dan SR Sg Kebun.

Namun pertukaran taktik SR Mabohai dengan melakukan hantaran-hantaran rendah dan pergerakan pantas pemainnya untuk menerima bola, yang bermula pada suku masa ketiga terbukti membuahkan hasil apabila SR Mabohai bukan saja berjaya menjaringkan tiga gol tetapi turut berjaya menghalang lawannya daripada menambah jaringan.

Memasuki suku masa keempat perlawanan pada kedudukan 3-11, SR Mabohai semakin yakin untuk mengejar dan sekali lagi taktik sama digunakan sehingga berjaya menambah tiga gol lagi sedang lawannya cuma mampu menambah dua gol.

Semangat kebangkitan SR Mabohai itu patut diberikan pujian dan ternyata ia cukup untuk menggembirakan jurulatih dan pengurus mereka yang kelihatan meraikan kejayaan dua suku masa terakhir perlawanan itu seolah-olah mereka muncul juara.

Berbeza pada perlawanan penentuan tempat ketiga yang berlangsung seimbang pada suku masa pertama dengan kedudukan terikat 2-2, sebelum SR Saba Darat mendahului 6-4 selepas suku masa kedua dan semakin jauh mendahului 12-4 selesai suku masa ketiga dan akhirnya menyudahkan perlawanan dengan kemenangan 15-5.

Kejohanan anjuran tahunan Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan bagi Kawasan Brunei I berkenaan telah dikendalikan oleh SR Raja Isteri Fatimah.