Sekolah ditutup akibat panas melampau

Sekolah ditutup akibat panas melampau

PETALING JAYA, 21 Mac (Bernama) – Ekoran cuaca panas melampau, semua sekolah di Kedah dan Perlis diarah tutup selama dua hari bermula esok (Selasa).

Ketika mengumumkan perkara itu hari Isnin, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata keputusan itu diambil setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan susulan suhu yang melebihi 37 darjah Celcius.

“Hanya proses pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah di dua negeri itu ditutup. Bagaimanapun, guru-guru perlu hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) daripada Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya di Damansara, hari ini.

Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah mengurniakan anugerah itu. Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mahdzir berkata kementeriannya juga akan terus memantau keadaan cuaca di negeri-negeri lain dan akan membuat pengumuman lanjut berdasarkan keadaan semasa.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sekolah di sesuatu kawasan akan ditutup jika suhu melebihi 37 darjah Celsius selama lebih 72 jam.

Malaysia kini mengalami cuaca panas dan kering disebabkan fenomena El Nino dan Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan keadaan itu hanya akan berakhir pada Mei atau Jun.

ARTIKEL YANG SAMA