Sekolah Fairview hargai pencapaian pelajar

Sekolah Fairview hargai pencapaian pelajar

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar Fairview

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Dalam memberikan penghargaan kepada para pelajar pra sekolah dan Tahun 6 yang telah menamatkan pengajian terutamanya terhadap pencapaian akademik pelajar, Sekolah Fairview baru-baru ini telah mengadakan Majlis Program Akhir Tahun yang berlangsung di Kolej IGS, Kiulap.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan dan Proprietor Sekolah Fairview, Dato Seri Laila Jasa Haji Ahmad bin Dato Paduka Matnoor. Juga hadir ialah Pengarah Akademik Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Husin.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dibacakan oleh pelajar Tahun 6 sekolah berkenaan, Sheikh Omarraiyan bin Sheikh Hanif, diikuti dengan lagu kebangsaan dan persembahan nyanyian berjudul ‘Fikirkan boleh’.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh guru besar sekolah berkenaan, Hajah Samsiniah binti Haji Kepli, diikuti dengan persembahan Tarian Retro, Shorinji Kempo dan acara penganugerahan bagi pelajar sekolah berkenaan bermula daripada pra persekolahan sehingga ke Tahun 6.

Antara para graduan yang menerima sijil mereka pada acara tersebut.
Antara para graduan yang menerima sijil mereka pada acara tersebut.

Majlis tersebut juga diselajurkan dengan penyampaian Anugerah Sijil ICAS, Pembaca Buku Terbaik dan Pelajar Aktif sebelum disusuli dengan beberapa lagi persembahan.

Sekolah berkenaan turut meraikan kejayaan Awang Ahmad Syahmi bin Haji Mohd Dani yang telah memenangi Anugerah Medal Emas dalam Pertandingan ICAS (International Competitions and Assessments for Schools) bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris anjuran Universiti South Wale, Australia pada tahun ini.

Menurut kenyataan sekolah berkenaan, pertandingan tersebut telah ditawarkan ke sekolah-sekolah di seluruh Australia dan kepada lebih 20 buah negara di Asia, Afrika, rantau Pasifik dan Amerika Syarikat.

Selain itu, beberapa pelajar juga telah berjaya mencapai gred kredit di dalam tiga mata pelajaran iaitu Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains dalam Pertandingan ICAS pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA