Sekolah menengah agama dipertimbangkan

Sekolah menengah agama dipertimbangkan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Persekolahan menengah agama mungkin akan dipertimbangkan kewujudannya pada masa-masa akan datang, kerana ketika ini persekolahan agama hanya dilaksanakan dari Darjah Pra hingga Darjah 6.

Perancangan mengenainya disuarakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (gambar bawah) dalam temu bual semasa lawatan Yang Berhormat Pehin ke Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Hafizah Sururul Bolkiah, Berakas hari ini.

“Memang betul pelajaran agama dari Darjah Pra hingga Darjah 6 sekolah rendah sahaja, jadi sekolah menengah agama itu di mana? Insya Allah, sama-sama kita fikirkan,” katanya.

Manakala ketika menyentuh mengenai Perintah Pendidikan Ugama Wajib, Yang Berhormat Pehin menekankan bahawa ibu bapa berkewajipan menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah agama dan pihak kerajaan akan terus menyediakan prasarana atau sekolah-sekolah tersebut.

“Keutamaan setiap tahun, bagi Jabatan Pengajian Islam dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ialah memikirkan kemudahan-kemudahan yang ada bagi menerima kemasukan (murid-murid),” jelas Yang Berhormat Pehin.

Satu perkara yang perlu diambil perhatian, menurut Yang Berhormat Pehin, dengan adanya peraturan mewajibkan kemasukan ke sekolah agama ini, bermakna kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sangat mengambil berat mengenai pendidikan keagamaan kerana ianya adalah sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan dalam memastikan rakyat yang beragama Islam mempunyai pengetahuan untuk mengamalkan agama.

“Seminimum yang mungkin, pendidikan ini ialah dari segi fardu ainnya yang mengajar mereka sembahyang, mengaji, memahami hukum-hukum asasi yang dipelajari dari Darjah 1 hingga Darjah 6 sekolah agama,” jelas Yang Berhormat Pehin lagi.

Menurutnya, selain pendidikan agama wajib, murid-murid juga selepas itu mempelajari mata pelajaran IRK (Islamic Religious Knowledge) di peringkat seterusnya di sekolah menengah. “Ini pun dipantau supaya selari pengetahuan-pengetahuan asas dalam bidang/ perkara-perkara fardu ain untuk diperkukuhkan/dipertingkatkan lagi dalam mata pelajaran IRK.”

Yang Berhormat Pehin juga menyentuh mengenai pengecualian untuk tidak bersekolah agama, di mana setakat ini tidak ada permohonan daripada ibu bapa untuk memohon pengecualian berkenaan. Pengecualian hanya akan berkuat kuasa atas sebab-sebab tertentu yang menyebabkan anak-anak mereka tidak boleh bersekolah.

Menurut Yang Berhormat Pehin lagi, pengecualian ini termasuklah atas sebab berkhidmat di luar negara, namun jika bukan sebab-sebab yang dinyatakan, ibu bapa dikira menyalahi peraturan wajib jika tidak menghantar anak mereka ke persekolahan agama.

ARTIKEL YANG SAMA