Sekolah penerbangan tahun depan?

Sekolah penerbangan tahun depan?

Oleh Danial Norjidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Okt – Negara Brunei Darussalam bakal memiliki sekolah penerbangan sendiri yang dijangka beroperasi menjelang pertengahan tahun depan, dengan kerja-kerja pembinaannya kini sedang dijalankan.

Perkara itu didedahkan oleh pegawai tertinggi dari CAE semasa temu bual dengan wartawan di Pusat Latihan Pelbagai Guna CAE Brunei (MPTC) hari ini.

MPTC, kemudahan latihan bertaraf dunia, merupakan usaha sama antara kerajaan Brunei dan CAE, pusat pemimpin dunia dalam latihan bagi penerbangan awam, pertahanan dan keselamatan serta penjagaan kesihatan.

Ketika bercakap mengenai masa depan CAE bagi Brunei, Presiden Kumpulan Pertahanan dan Keselamatan CAE, Gene Colabatistto (gambar) mengongsikan, “Perkara pertama adalah memperluaskan dasar dalam penerbangan. Sebagai sebahagian daripadanya, kami menubuhkan sebuah organisasi latihan penerbangan — satu sekolah latihan penerbangan sebenar di Brunei,” katanya.

“Kami akan melaksanakannya untuk memuaskan permintaan pelanggan utama di Brunei, namun kami akan membinanya agar ia boleh diperluaskan dan mempunyai kapasiti tambahan yang boleh menarik pelajar lain dari rantau ini untuk datang dan berlatih di sini,” katanya, menekankan bahawa itu bermakna MPTC akan menawarkan kedua-dua latihan sebenar dan simulasi.

pg01_151017_a

Beliau menegaskan bahawa CAE menjalankan latihan penerbangan sebenar di seluruh dunia, dan mereka merupakan operator terbesar seumpamanya di dunia. “Kami melakukannya untuk penerbangan awam dan tentera kerana kami mempunyai infrastruktur dan pengetahuan teknikal,” tambahnya.

“Membina infrastruktur di sini bukanlah sesuatu yang mudah, namun memahami keperluan sebenar yang perlu dilakukan dan kami menjalinkan hubungan dengan pelanggan untuk memahami apa keperluan mereka, bukan sahaja sekarang namun dalam masa lima hingga 10 tahun akan datang agar sekolah boleh dibina dalam skala yang bersesuaian.”

Manakala Pengarah MPTC CAE Brunei, Kevin Speed turut menambah, “Satu elemen penting dalam garisan masa kami adalah untuk bekerjasama dengan pelanggan teras yang mempunyai permintaan kadet, dalam Kementerian Pertahanan, Penerbangan Diraja Brunei dan Shell. Selain itu, Kementerian Pendidikan juga akan membiayai kadet latihan.

“Maka kami sedang mengkaji pelanggan teras dalam Brunei dan seluruh rantau ini, namun satu bahagian besar yang kami perlukan untuk menjadikan sekolah penerbangan berjaya di Brunei adalah untuk bekerjasama dengan Kementerian Perhubungan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk memastikan semua keperluan peraturan dilaksanakan.

“Kami juga mendapat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Ekonomi Brunei (BEDB) yang juga akan menyediakan kami dengan infrastruktur di lapangan terbang dan infrastruktur lain yang kami perlukan di Brunei.”

ARTIKEL YANG SAMA