Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut terima kunjungan

Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut terima kunjungan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh SR Bendahara Sakam Bunut

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Mei – Sekolah Rendah Bendahara Sakam Bunut, Kluster 2, pagi tadi, telah menerima kunjungan 11 orang kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam bersama guru-guru mereka.

Lawatan rombongan bersama pelajar Tahun 4 itu telah dimeriahkan dengan beberapa aktiviti sukan ria seperti permainan dart, memasukkan bola ke dalam bakul, menggolek bola ke dalam jaring, ring toss dan boling botol.

Antara lain tujuan lawatan berkenaan adalah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan menggalakkan interaksi sosial di antara para pelajar di sekolah berkenaan bersama kanak-kanak istimewa yang ada di negara ini.

Selain itu, ia juga membantu melibatkan kanak-kanak istimewa Pusat Ehsan dalam pelbagai aktiviti bagi membolehkan mereka berdepan para pelajar sekolah lain di samping memberi pengalaman untuk meningkatkan perkembangan dan pembelajaran mereka.

Bergambar ramai bersama rombongan kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Bergambar ramai bersama rombongan kanak-kanak istimewa dari Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.