Sekolah Rendah Mabohai unggul tanpa saingan

Sekolah Rendah Mabohai unggul tanpa saingan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mac – Sekolah Rendah (SR) Mabohai mengekalkan keunggulannya di kawasan Brunei I tanpa saingan daripada pasukan lain, sekalipun lawannya pada perlawanan akhir, SR Pusar Ulak, begitu mudah ditewaskannya dengan jaringan 4-1.

Hadir menyempurnakan penyampaian hadiah kepada empat pasukan terbaik kejohanan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan itu ialah Guru Besar SR Mabohai, Dayang Salinawati binti Mohd Zainal sambil diiringi oleh Penolong Ketua Unit Jasmani, JPKK, Awang Mohamad bin Haji Mohd Saat.

Sejumlah 12 buah pasukan sekolah rendah dalam kawasan Brunei I yang menyertai kejohanan itu telah dibahagikan kepada empat buah kumpulan, dan hanya juara setiap kumpulan layak ke separuh akhir kejohanan.

Pada peringkat kumpulan Kejohanan Bolasepak Sekolah-sekolah Rendah Kawasan Brunei I, 2016 itu sahaja, SR Mabohai meledakkan 10 gol hasil dari pada kemenangan 4-0 ke atas SR Raja Isteri Fatimah (RIF) dan 6-0 ke atas SR Saba Darat, sebelum menundukkan SR Haji Tarif dengan jaringan 3-0 di separuh akhir.

SR Pusar Ulak sendiri bukannya pasukan yang calang-calang kerana mudah mara ke final selepas menang besar 4-0 ke atas SR Sungai Kebun, yang masih berpuas hati memenangi tempat ketiga melalui kemenangan bergaya, 3-0 ke atas SR Haji Tarif pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Gambar ramai bersama Juara Kejohanan Bolasepak Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei I, 2016, SR Mabohai.
Gambar ramai bersama Juara Kejohanan Bolasepak Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei I, 2016, SR Mabohai.

Separuh masa pertama perlawanan akhir tersebut menyaksikan SR Mabohai sudah mendahului 3-1, dengan ketiga-tiga golnya itu dijaringkan oleh Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Kejohanan, Haziq Naqiuddin, yang merupakan ketua Pasukan SR Mabohai.

Haziq sudah menemui sasaran di gawang SR Pusar Ulak seawal minit pertama perlawanan, sebelum beliau menggandakan pendahuluan SR Mabohai empat minit kemudian. Tetapi kedudukan menjadi 1-2 pada minit ke-8 untuk bolos tunggal SR Mabohai sepanjang kejohanan, diledakkan oleh kapten SR Pusar Ulak.

Pada minit terakhir babak pertama itu Haziq berjaya lagi melakukan rembatan kencang yang berjaya membolosi gawang SR Pusar Ulak buat kali ketiga untuk hatriknya, sekali gus menambah selesa pendahuluan SR Mabohai kepada 3-1.

Hanya tiga minit selepas perlawanan dimulakan semula pada babak kedua, Haziq terus membuktikan kehebatannya dengan ledakan gol keempat peribadinya yang menjadi gol terakhir pada perlawanan terakhir tersebut, sekali gus menghadiahkan kemenangan 4-1 dan emas buat SR Mabohai.

ARTIKEL YANG SAMA