Sekolah Rendah PSN anjur majlis serentak

Sekolah Rendah PSN anjur majlis serentak

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 7 Julai – Di bulan suci Ramadan ini, Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof (PSN), Seria turut tidak ketinggalan merebut fadilat berlipat ganda dengan menganjurkan pelbagai aktiviti keagamaan iaitu Majlis Khatam Al-Quran, Penyampaian Derma kepada Anak-anak Yatim serta meraikan kehadiran saudara baru di Dewan Intan sekolah tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Kampung Lorong Tiga Selatan, Haji Saidini bin Haji Ibrahim, dan turut hadir bagi menyampaikan sumbangan berkenaan ialah Guru Besar sekolah tersebut, Hajah Masnah binti Karia.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan bacaan Khatam Al-Quran beramai-ramai.

Doa khatam Al-Quran dibacakan oleh Haji Muhd Khairuddin bin Haji Meraji yang diselajurkan dengan dikir marhaban oleh murid-murid dari sekolah ugama sesi petang bagi meraikan saudara-saudara baru.

pg12_150708_c

Dalam majlis itu juga, sijil khatam disampaikan oleh tetamu kehormat manakala derma anak-anak yatim daripada kalangan murid-murid yang belajar di sekolah itu seramai 10 orang disampaikan oleh guru besar sekolah tersebut.

Dayang Siti binti Haji Nawang, Ketua Guru Ugama selaku Urus Setia Majlis mengatakan acara itu adalah merupakan salah satu projek tahunan sekolah, selain itu aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain diadakan adalah seperti peraduan tulisan jawi bagi guru-guru dan warga sekolah serta murid-murid, peraduan bacaan doa pendek dan peraduan menghafaz surah pendek.

ARTIKEL YANG SAMA