Sekolah Rendah Tungku rangkul pingat emas

Sekolah Rendah Tungku rangkul pingat emas

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Sekolah Rendah (SR) Tungku merangkul pingat emas Kejohanan Bola Jaring Sekolah-Sekolah Rendah Kawasan Brunei III, 2016 apabila berjaya menewaskan SR Beribi Telanai dengan jaringan 11-6 di perlawanan akhir hari ini.

SR Pengiran Pekerma Setia Diraja (PPSD) Sahibul Bandar memerlukan separuh kedua masa tambahan bagi memastikan pingat gangsa menjadi miliknya selepas diikat SR Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar (DRHMJ) Kiarong 9-9 dalam masa sebenar perlawanan sebelum muncul sebagai pemenang dengan jaringan 13-11.

Separuh pertama masa tambahan dalam perlawanan penentuan pingat gangsa itu masih menyaksikan kedua-dua pasukan seimbang, 10-10, namun pacuan tiga gol pada separuh kedua masa tambahan itu memberikan SR PPSD Sahibul Bandar kemenangan dengan jarak dua gol, 13-11, kerana pesaingnya hanya berjaya menambah satu jaringan.

Empat pasukan terbaik Kejohanan Bola Jaring Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei III 2016 bergambar ramai bersama Pengiran Othman.
Empat pasukan terbaik Kejohanan Bola Jaring Sekolah Rendah Kerajaan & Pendidikan Swasta Kawasan Brunei III 2016 bergambar ramai bersama Pengiran Othman.

Selain muncul juara, SR Tungku turut menyapu bersih kedua-dua anugerah individu tersedia iaitu Penjaring Terbanyak yang dimenangi Dayangku Sarah Nabilah binti Pengiran Maidi (39 gol) dan Pemain Terbaik yang diterima oleh Dayangku Nur Yana Syahiera Haswizah binti Pengiran Saiful.

Pada kejohanan yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu, Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim telah menyempurnakan majlis penyampaian hadiah.

ARTIKEL YANG SAMA