Sekolah reput akan dibaiki

Sekolah reput akan dibaiki

MIRI, 29 Julai – Bangunan kayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sayed Othman, di sini yang rosak akibat dimakan anai-anai akan dibaiki semula dalam tahun ini.

Pegawai Pendidikan Daerah Miri Dr Hassan Hasbollah berkata pegawai Jabatan Pendidikan Negeri akan melawat bangunan kayu berusia 54 tahun yang menempatkan murid tahun satu, dua dan tiga itu, esok untuk memeriksa dan menilai kos membaiki dinding, siling dan lantai sebagai langkah jangka pendek.

“Kami harap selepas membuat pemeriksaan dan penilaian, kerja membaiki dapat dilakukan tahun ini juga,” katanya kepada pemberita selepas melawat sekolah itu bersama Anggota Dewan Undangan Negeri Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, hari ini.

Hassan berkata SK Sayed Othman adalah antara sekolah yang disenaraikan untuk kerja pembaikian segera di Miri dan senarai itu telah dikemukakan awal tahun ini.

Bagi langkah jangka panjang pula, katanya SK Sayed Othman adalah antara sekolah rendah yang dipilih untuk dibangunkan semula di Miri di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Sementara itu, Ting berkata beliau akan membuat susulan terhadap janji Kementerian Pendidikan menyediakan peruntukan RM100,000 seperti diumumkan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Puad Zarkashi pada Julai 2012 untuk membina bangunan itu, yang sehingga kini masih belum diperoleh.

“Kami akan meneruskan usaha ini dan berharap Kementerian Pendidikan akan mempercepatkan kerja membaiki secepat mungkin,” katanya. – Bernama