Sekolah runtuh ragut 5 jiwa

Sekolah runtuh ragut 5 jiwa

JOS, Nigeria, 14 Sept (AFP) – Empat kanak-kanak dan seorang guru terbunuh apabila sebuah sekolah rendah agama runtuh berhampiran bandar Jos, tengah Nigeria, menurut agensi bantuan negara itu hari ini.

Tragedi itu berlaku pada malam kelmarin di sekolah Abu Naima di kawasan Bukuru ke selatan bandar itu, kata Mohammed Abdulsalam, dari Agensi Pengurusan Kecemasan Negara (NEMA).

“Lima orang terbunuh: empat pelajar dan seorang guru wanita.

Seramai 24 orang – 21 perempuan dan tiga lelaki mengalami kecederaan dan dikejarkan ke hospital,” ujarnya kepada AFP.

Menurut Abdulsalam, dua kanak-kanak yang terbunuh itu adalah lelaki dan dua perempuan dengan umur mereka tidak diketahui.

Punca runtuhan itu belum lagi dapat dikenal pasti namun Abdulsalam mengatakan para penyiasat yang memeriksa kawasan berkenaan menyatakan tambahan lantai lain pada bangunan tingkat tunggal itu adalah kemungkinan faktornya.

Hujan lebat pada awal hari itu menyaksikan ramai kanak-kanak tidak hadir ke sekolah yang menempatkan kanak-kanak berusia lima ke 10 tahun, tambahnya.

“Operasi menyelamat diselesaikan malam semalam pada kira-kira jam 10 malam (2100 GMT). Kami akan meneruskannya pada pagi ini bagi pemeriksaan selanjutnya,” jelasnya.

ARTIKEL YANG SAMA