Sekolah St George juara koir peringkat senegara

Sekolah St George juara koir peringkat senegara

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mac – Sekolah St George diumumkan sebagai juara Peringkat Akhir Pertandingan Koir Lagu Kanak-kanak Sekolah-Sekolah Rendah Senegara dan Pertandingan Lagu Patriotik Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Senegara bagi Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis yang berlangsung di Dewan Auditorium, Jabatan Penerangan itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Juara pertandingan membawa wang tunai bernilai $550, piala iringan dan juga sijil penyertaan bagi kedua-dua kategori tersebut.

Manakala tempat kedua bagi kategori sekolah rendah pula disandang oleh Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Muhammad Jaafar, Kiarong, dan di tempat ketiga pula ialah Sekolah Seri Mulia Sarjana (SSMS).

Tempat kedua bagi kategori sekolah menengah pula telah disandang oleh SSMS dan tempat ketiga ialah Sekolah Saint John.

Gambar ramai bersama juara bagi kategori sekolah rendah.
Gambar ramai bersama juara bagi kategori sekolah rendah.
Gambar ramai bersama juara bagi kategori sekolah menengah.
Gambar ramai bersama juara bagi kategori sekolah menengah.

Para pemenang masing-masing telah membawa pulang hadiah bernilai $450 bagi tempat kedua, $350 bagi tempat ketiga berserta piala iringan dan juga sijil penyertaan.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee dalam ucapannya menjelaskan lagu rakyat atau lagu kanak-kanak Brunei telah dipilih untuk dipertandingkan bagi peringkat sekolah rendah tahun ini yang diharap akan dapat memberikan pendedahan atau pengenalan kepada murid-murid akan lagu kanak-kanak Brunei.

Pihak Jabatan juga berharap agar segala nasihat dan nilai-nilai murni yang terkandung dalam bait-bait lagu tersebut akan diterapkan di samping penghayatan terhadap lagu-lagu itu.

Bagi peringkat sekolah menengah pula, lagu-lagu patriotik Brunei masih dipertahankan untuk dipertandingkan dalam mencapai generasi berwawasan dan meningkatkan lagi semangat mereka untuk cintakan negara serta menimbulkan keazaman untuk sentiasa berusaha membangun diri, agama, bangsa serta Negara Brunei Darussalam yang tercinta ke arah sebuah negara yang lebih maju dan seiring dengan negara lain.

Menurut beliau lagi, peringkat saringan bagi kedua-dua pertandingan telah pun diadakan pada 27 Februari yang lalu bagi sekolah rendah dan bagi sekolah menengah dan maktab-maktab pula diadakan pada 29 Februari.

ARTIKEL YANG SAMA