Sekolah St. James mulakan pengajian dengan orientasi

Sekolah St. James mulakan pengajian dengan orientasi

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 20 Jan – Bagi mendedahkan etos sekolah dan menanamkan disiplin dengan memahami kaedah-kaedah dan peraturan sekolah, Sekolah St. James memulakan tahun ini dengan acara orientasi dan aktiviti ceramah motivasi untuk pelajar-pelajar Tahun 6 hingga 11, yang berlangsung di dewan sekolah tersebut.

Hadir menyampaikan taklimat semasa orientasi tersebut ialah Pengetua sekolah, Haji Mohd Masa Masdi bin Mohd Sa’idun, Timbalan Pengetua, Leonardo Amo, dan Guru Disiplin, Haji Daud bin Akup.

Haji Mohd Masa Masdi dalam ceramahnya, antara lain menjelaskan kepentingan sekolah ini dalam membantu negara mencapai Wawasan Brunei Darussalam 2035 dan keperluan untuk para pelajar juga mencapainya dengan menjadi pelajar-pelajar contoh.

Beliau juga menjelaskan mengenai persediaan bagi peperiksaan awam seperti PSR, SPE dan GCE.

Haji Mohd Masa Masdi ketika memberikan taklimat. - Gambar oleh Sekolah St James
Haji Mohd Masa Masdi ketika memberikan taklimat. – Gambar oleh Sekolah St James
Antara para pelajar yang menghadiri taklimat tersebut.
Antara para pelajar yang menghadiri taklimat tersebut.

Sementara itu, Haji Daud pula menjelaskan peraturan sekolah dan peraturan yang ditetapkan dalam Buku Panduan Pelajar serta menggesa para pelajar menghayati disiplin peribadi untuk berjaya dalam pelajaran dan kehidupan mereka.

Manakala itu, Leonardo Amo menjelaskan satu persatu akan nilai teras sekolah dan menayangkan video motivasi mengenai ‘Kegagalan Terkenal’ yang bukan sahaja memberi inspirasi kepada pelajar tetapi juga menggalakkan mereka untuk bangun dan tidak mengalah setiap kali mereka gagal.

Orientasi diakhiri dengan para pelajar dan guru-guru menandatangani kain rentang untuk menandakan persetujuan dan komitmen mereka kepada cabaran yang bakal mereka hadapi pada tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA