Sekolah St James semarakkan Aidilfitri

Sekolah St James semarakkan Aidilfitri

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 4 Ogos – Walaupun Aidilfitri sudah memasuki minggu ke-3, kemeriahan suasananya masih dirasai, apabila Sekolah St James, Kuala Belait, turut mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di perkarangan sekolah berkenaan, kelmarin.

Sambutan Aidilfitri yang pertama kalinya sekolah tersebut adakan telah diraikan bersama-sama seluruh murid dan pelajar dari Pra-Tadika hingga Tahun 11 dengan diisi pelbagai aktiviti persembahan yang menarik.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pentadbiran Sekolah St James Kuala Belait, Awang Humphrey Chin yang diiringi oleh Timbalannya, Awang Andrew Wong dan Pengetua Sekolah St James, Haji Masa Masdi bin Mohd Sa’idun.

Haji Masa Masdi mengatakan acara sebegini adalah Sambutan Hari Raya kali pertama diadakan pada dua tempat; di perkarangan sekolah dan kelas-kelas iaitu para pelajar peringkat menengah ditempatkan di perkarangan sekolah, manakala murid-murid sekolah rendah dan tadika ditempatkan di kelas masing-masing.

Murid-murid pra tadika Sekolah St James bergambar ramai bersama guru mereka di acara Aidilfitri.
Murid-murid pra tadika Sekolah St James bergambar ramai bersama guru mereka di acara Aidilfitri.
Seorang ahli silap mata menguji kepintaran tetamu kehormat (tengah) dalam meneka kad sambil dilihat oleh pengetua sekolah.
Seorang ahli silap mata menguji kepintaran tetamu kehormat (tengah) dalam meneka kad sambil dilihat oleh pengetua sekolah.

Pengetua sekolah tersebut turut menambah, objektif majlis itu adalah untuk mewujudkan semangat kekitaan dan ikatan mesra di antara semua ahli warga sekolah, meningkatkan semangat bekerjasama atau bantu membantu dalam menjayakan sesuatu tugasan atau program, menanam semangat kemeriahan Aidilfitri yang berunsurkan tradisi dan nilai-nilai kehidupan di dalam masyarakat yang majmuk.

Selain itu, ia dapat menanamkan semangat faham memahami serta hormat-menghormati di kalangan para pelajar, guru-guru serta kakitangan sekolah yang berlainan bangsa dan agama.

Seramai 60 pelajar dan murid-murid turut membuat persembahan seperti silap mata, nyanyian koir dan tarian tradisi, serta pertandingan pakaian terbaik bagi pelajar lelaki dan murid.

“Alhamdulillah, sambutan hari raya Sekolah St. James pada tahun ini adalah lebih berjaya mencapai objektif iaitu berhari raya untuk perpaduan bersama. Semoga sambutan tahun harapan akan lebih mantap lagi dan dapat memperkukuhkan tali silaturahim di kalangan warga sekolah dalam misi institusi untuk pendidikan yang menyeluruh,” ujarnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA