Sekolah Sukan bolot kejuaraan futsal

Sekolah Sukan bolot kejuaraan futsal

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Sekolah Sukan membolot kejuaraan kedua-dua kategori B (Bawah 15 Tahun) dan C (Bawah 18 Tahun) Kejohanan Futsal Sekolah-Sekolah Menengah dan Maktab-Maktab Kawasan Zon 1 2016.

Dalam Kategori C, Sekolah Sukan berjaya mengalahkan Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun dengan jaringan 2-0, manakala dalam Kategori B, Sekolah Sukan menang tipis 2-1 ke atas SM Sayyidina Umar Al-Khattab (SUA).

Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Tahfiz) melupakan kehampaan tewas 4-3 kepada Sekolah Sukan di separuh akhir untuk memenangi tempat ketiga Kategori C selepas menundukkan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) dengan jaringan 2-1.

Tempat ketiga Kategori B pula dimenangi SM Awang Semaun menerusi kejayaan menang tipis 1-0 ke atas SM Sultan Muhammad Jamalul Alam (SMJA).

Pengiran Othman (depan, 6 dari kiri) bersama tiga pasukan terbaik Kategori C Sekolah Sukan (biru), SM Awang Semaun (merah) dan Tahfiz (hijau).
Pengiran Othman (depan, 6 dari kiri) bersama tiga pasukan terbaik Kategori C Sekolah Sukan (biru), SM Awang Semaun (merah) dan Tahfiz (hijau).
Penjaring Terbanyak Kategori C, Muhammad Faturrahman dari Tahfiz ketika menerima pialanya daripada Pg Othman.
Penjaring Terbanyak Kategori C, Muhammad Faturrahman dari Tahfiz ketika menerima pialanya daripada Pg Othman.

Penerima Anugerah Penjaring Terbanyak Kategori C ialah Muhammad Faturrahman bin Awang Embran dari Tahfiz manakala Anugerah Pemain Terbaik diberikan kepada Awangku Mohammad Fa’ez Hafiyuddien bin Pengiran Haji Sumadi dari Sekolah Sukan.

Dalam Kategori B, Mohammad Aisan Aizuddin bin Abdullah Mohammad Aiman dari Sekolah Sukan membolot kedua-dua anugerah, Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik.

Hadir menyaksikan kedua-dua perlawanan akhir di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu dan kemudiannya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Unit Kegiatan Luar Sekolah, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Pengiran Othman bin Pengiran Karim.

Kejohanan tahunan kali ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum (JPKK), Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong.

ARTIKEL YANG SAMA