Sekolah Sukan juara B-18 Zon 1

Sekolah Sukan juara B-18 Zon 1

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Pasukan Bola Sepak Sekolah Sukan muncul juara Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 Tahun (B-18) Antara Sekolah Menengah, Maktab dan Institusi Pengajian Tinggi Bagi Zon 1 setelah menang tipis 2-1, ke atas Pasukan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Dalam aksi final di Stadium Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah hari ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1 hingga ke wisel penamat dan terpaksa memasuki perlawanan masa tambahan sebanyak 20 minit.

Hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Pemangku Penolong Pengarah, Jabatan Pendidikan kokurikulum, Awang Roslin bin Suhailee.

Nasib menyebelahi Pasukan Sekolah Sukan pada minit ke-17 masa tambahan apabila pertahanan Institut Tahfiz melakukan kesilapan dengan menjatuhkan penyerang lawan lalu pengadil memberikan sepakan penalti kepada Pasukan Sekolah Sukan di saat akhir sebelum tamat.

Tetamu kehormat menyampaikan piala kemenangan kepada pasukan Sekolah Sukan.
Tetamu kehormat menyampaikan piala kemenangan kepada pasukan Sekolah Sukan.

Keadaan cuaca panas terik juga telah mengakibatkan ramai pemain Institut Tahfiz mengalami kekejangan otot dan terpaksa diusung keluar padang. Walaupun tewas, aksi cemerlang penjaga gawang Institut Tahfiz, Muhd Ishyra Asmin bin Mohd Jabidi telah menyelamatkan banyak percubaan pasukan lawan sehingga dianugerahkan Pemain Terbaik kejohanan.

Pada masa sama juga, kekasaran yang sering dilakukan oleh penyerang berjersi 15 Sekolah Sukan, Muhd Khairul ‘Azmi bin Shahlan telah menarik perhatian para pengadil sehingga beliau telah diberikan amaran supaya mengawal permainannya atau berdepan kad kuning.

Kemunculan Pasukan Sekolah Sukan di peringkat akhir hari ini ekoran kemenangan besar mereka ke atas Pasukan Maktab Duli dengan jaringan 4-0 manakala Pasukan Institut Tahfiz berjaya memasuki peringkat akhir setelah menewaskan Pasukan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dengan 2-0.

ARTIKEL YANG SAMA