Sekolah Ugama Puni anjur majlis khatam

Sekolah Ugama Puni anjur majlis khatam

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 5 Nov – Seramai 32 pelajar terdiri daripada 19 lelaki dan 13 perempuan Darjah 2 hingga 6, termasuk 10 guru agama Sekolah Ugama Puni telah menyertai Majlis Khatam Al-Quran, di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan mengepalai bacaan Surah Al-Fatihah ialah Penghulu Mukim Bangar, Haji Abdul Rahman bin Merussin.

Turut hadir ialah isteri tetamu kehormat, Pegawai Pengajian Islam Temburong, Hajah Rosita binti Haji Yaakub, pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pengajian Islam Temburong, guru-guru agama dan ibu bapa peserta khatam.

Seramai 32 pelajar Sekolah Ugama Puni Temburong yang mengikuti Majlis Khatam Al-Quran.
Seramai 32 pelajar Sekolah Ugama Puni Temburong yang mengikuti Majlis Khatam Al-Quran.

Majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim oleh para peserta khatam diikuti dengan bacaan Takhtim daripada murid-murid sekolah agama berkenaan diikuti dengan bacaan Doa Khatam oleh salah seorang peserta khatam.

Tetamu kehormat seterusnya menyerikan majlis dengan penyampaian sijil penyertaan khatam kepada peserta khatam.

Majlis khatam kali pertama ini bertujuan untuk menggalakkan para pelajar berusaha supaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran mereka sebaik sahaja mereka menamatkan persekolahan ugama, menanamkan dan menggalakkan budaya membaca dan menghayati Al-Quran dalam kalangan murid sekolah agama serta bagi mendukung hasrat kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah Negara Zikir ke arah menuju Baldatun Tayyibatun Warrabun Ghafur.

ARTIKEL YANG SAMA