Sektor auto perlu tingkat daya saing

Sektor auto perlu tingkat daya saing

KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) – Industri automotif yang agak rendah tahun ini berikutan sentimen pengguna yang lemah serta kedudukan nilai ringgit, perlu bangkit untuk berhadapan pasaran terbuka yang lebih mencabar hasil daripada pelbagai perjanjian perdagangan yang dirundingkan.

Industri ini melalui suatu perjalanan yang sukar, dengan jumlah industri (TIV) bagi sembilan bulan pertama tahun ini susut 1.4 peratus atau 6,934 unit kepada 485,388 unit berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jualan yang lebih rendah direkodkan pada April hingga Jun 2015 berikutan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), dengan syarikat automotif dilaporkan sibuk mengurus inventori berpunca daripada sentimen pengguna yang lemah dan kelulusan pinjaman yang lebih ketat yang menjejaskan jualan.

Segmen kenderaan pacuan empat roda (4WD atau 4×4) dan utiliti sukan (SUV) menjadi penyelamat tahun ini bagi sektor automotif dan bersedia untuk terus membantu perjalanan industri ini ke hadapan pada 2016 berdasarkan peningkatan dramatik dalam TIV.

Data daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa walaupun TIV bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berkurangan, segmen 4WD/SUV menunjukkan peningkatan dramatik sebanyak 72.8 peratus atau 17.371 unit.

Pemasaran agresif oleh syarikat permotoran mungkin merupakan antara sebab utama peningkatan prestasi itu walaupun pasaran secara keseluruhannya dalam keadaan berhati-hati, kata MAA.

Sementara itu, TIV pada Oktober meningkat semula sebanyak 9.1 peratus bulan ke bulan dan 2.9 peratus tahun ke tahun sebanyak 55,700 unit, namun dengan jumlah terkumpul sebanyak 541,000 unit, kemungkinan sasaran industri sebanyak 670,000 tidak tercapai.

Peneraju pasaran dalam kategori kereta penumpang pada Oktober masih dikuasai Perodua dengan penguasaan 35 peratus, diikuti Honda (17 peratus), Proton (16 peratus), dan Toyota (13 peratus).

Presiden Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh berkata syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran jualan sebanyak 208,000 unit tahun ini, dan terus menjadi jenama kereta paling digemari di Malaysia bagi tahun ke-10 berturut-turut.

Mengenai penyelidikan dan pembangunan, Proton, pada suku terakhir 2015, mendakwa projek kenderaan hibrid dan elektrik (EV) pembuat kereta nasional itu telah membolehkannya membangunkan kereta biasa dengan motor elektrik yang mampu bergerak 313 km sekali cas, dan rekod ini masih belum tercapai oleh pembuat kereta elektrik yang lain.

Projek ini masih di peringkat prototaip dan Proton belum bersedia untuk mendedahkan lebih banyak maklumat, namun menurut pakar dalam bidang berkenaan, EV atau kenderaan hibrid ke atas chasis ‘Preve’ atau ‘Iriz’ boleh diperkenalkan secara rasmi pada akhir tahun depan atau awal 2017.

Bagi 2016, unjuran ke atas sektor automotif tetap mencabar dan saingan, sengit, dengan kadar pertukaran mata wang yang tidak menguntungkan akan terus memberi impak besar ke atas kos bahan import yang akan mengurangkan margin keuntungan syarikat kereta yang memiliki kadar tempatan yang rendah.

Lebih buruk lagi apabila beberapa syarikat telah mengumumkan kenaikan harga berkuat kuasa pada 2016, termasuk Toyota dan Lexus, yang membayangkan kenaikan 4-16 peratus, Honda sebanyak 2-3 peratus dan Mitsubishi 2-7 peratus.

Proton juga membayangkan kenaikan harga mulai Januari 2016, namun tidak menyatakan perkadarannya.

Dalam perkembangan yang positif kepada pengguna, kesan pelbagai perjanjian perdagangan yang melibatkan negara, termasuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), dijangka meningkatkan daya saing penggiat industri dalam tahun-tahun akan datang yang seterusnya memberi manfaat kepada pembeli.

Selain harga minyak mentah yang dijangka kekal pada paras rendah dan menjurus kepada harga yang lebih rendah di pam, pengguna boleh mengharapkan penurunan seterusnya harga kereta dan motosikal pada tahun-tahun akan datang berikutan kesan perjanjian, memandangkan dasar pasaran terbuka menggalakkan daya saing yang boleh menambah baik harga.