Sektor industri runcit digesa manfaatkan AEC

Sektor industri runcit digesa manfaatkan AEC

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) – Pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) memberi peluang besar kepada sektor runcit untuk berkembang dan ini harus dimanfaatkan oleh peserta industri, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata peserta industri, khususnya anggota Persatuan Peruncit Rantaian Malaysia (MRCA) perlu merebut peluang-peluang perniagaan yang akan wujud daripada peningkatan perdagangan yang diunjurkan di rantau ini.

“Amat penting bagi peruncit mengikuti perkembangan industri, bukan sahaja dalam Malaysia tetapi juga dalam rantau ASEAN,” katanya pada Jamuan Tahun Baharu Cina MRCA, di sini Jumaat malam.

Liow berkata sebagai penyumbang ke-4 terbesar kepada ekonomi Malaysia, sektor runcit memainkan peranan utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya sekalipun ekonomi memperlahankan, perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan kukuh pada 7.5 peratus atau RM6.7 bilion pada suku terakhir 2015, berbanding suku sama tahun sebelumnya.

Liow berkata banyak yang perlu dipelajari daripada rakan seperniagaan dari segi teknologi atau perkembangan baru lain, dan dengan meningkatkan kefahaman tentang aliran semasa di seluruh rantau, syarikat tempatan akan dapat bersaing dengan lebih baik di peringkat rantau dan juga global.

Beliau berkata komitmen kerajaan untuk memperluas pasaran negara dibuktikan menerusi penyertaan Malaysia dalam AEC dan juga Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik.

ARTIKEL YANG SAMA