Sektor pelancongan digesa memanfaatkan ekonomi digital

KUCHING, 9 Mac – Sektor pelancongan Sarawak perlu memanfaatkan teknologi digital bagi melonjakkan daya saing industri itu dengan mengintegrasikannya dalam rantaian nilai digital global, sekali gus menambah baik keupayaan mewujudkan lebih banyak perniagaan, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Sehubungan itu katanya, mereka perlu melihat secara serius strategi pemasaran digital serta penggunaan media sosial dan telefon mudah alih.

“Ketika Sarawak berusaha mencapai status negeri maju, amat penting bagi sektor korporat mempermudah dan mewujudkan platform bagi Sarawak berkongsi maklumat, menyebarkan inspirasi, meneroka peluang perniagaan dan menjalinkan hubungan dagang dengan ASEAN dan negara lain di rantau ini,” katanya pada pelancaran Forum Pelancongan Digital Persatuan Usahawan ASEAN-China, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelan-congan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berkata forum hari ini boleh dijadikan platform untuk Sarawak memulakan perkongsian pintar dengan ASEAN dan negara serantau dalam mempromosikan pelancongan digital bagi pertumbuhan dan faedah bersama.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (kiri, tiga) yang mewakili Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, memegang tulisan yang ditulis oleh robot pada Perasmian Forum Pelancongan Digital semalam. – Bernama

“Sarawak kaya dengan sumber asli dan masih terdapat banyak potensi yang menunggu untuk diteroka dan dibangunkan. Menerusi aplikasi ‘Travel App’ yang akan dilancarkan nanti, saya percaya ia akan membantu merangsang industri pelancongan tempatan,” katanya.

Beliau berkata pelancongan merupakan sektor ekonomi yang semakin meningkat dan diberi tumpuan serta penekanan oleh kerajaan negeri.

“Pada 2017, Sarawak mencatatkan 4.86 juta ketibaan pelawat melibatkan perbelanjaan RM8.59 bilion yang merangkumi 7.9 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar.

“Kami jangka ketibaan pelancong terus meningkat dan bagi 2018 kami tetapkan sasaran 5.25 juta ketibaan. Negara ASEAN selaku negara tetangga akan terus menjadi negara sumber pelancong yang menyumbang 48.98 peratus atau 2.38 juta ketibaan pada 2017,” katanya. – Bernama