Sektor pelancongan Thailand merosot

Sektor pelancongan Thailand merosot

BANGKOK, 15 Ogos – Pertumbuhan ekonomi Thailand meleset dalam tempoh tiga bulan sehingga Jun, angka baru menunjukkan hari ini, beberapa hari selepas berlakunya insiden siri pengeboman dan serangan membakar yang melanda sektor pelancongan negara tersebut.

Hutang keluarga yang tinggi, eksport lemah, pelaburan asing meleset dan keyakinan pengguna yang rendah telah menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan dalam apa yang dikatakan merupakan ekonomi kemegahan di Asia Tenggara.

Junta tentera merampas kuasa pada 2014 berikrar akan menamatkan keadaan politik yang tidak stabil dan melancarkan ekonomi yang lembap.

Pertumbuhan Thailand telah berpulih sedikit sejak itu, terutamanya di sebalik perbelanjaan kerajaan yang meningkat dan ketibaan pelancong yang berterusan.

Namun ia masih rendah berbanding dengan negara jirannya.

Angka yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Nasional menunjukkan pertumbuhan KDNK suku kedua naik sedikit pada 3.5 peratus tahun-ke-tahun.

Namun pertumbuhan suku-ke-suku adalah pada tahap 0.8 peratus, merosot sedikit daripada satu peratus pada suku pertama.

Dalam nota taklimat, Capital Economics berkata Thailand telah pun menghadapi halangan akibat kebimbangan pertumbuhan global dan daya saing ekport negara yang berkurangan, menambah trend tersebut akan menjadi lebih buruk jika ketidakstabilan politik berterusan.

Pada minggu lalu, hampir satu dozen bom meletup di tempat peranginan pelancong popular di selatan negara, membunuh empat orang dan mencedera berpuluh lagi, termasuk pelancong Eropah.

Tidak ada sesiapa yang mendakwa bertanggungjawab atas pengeboman yang melanda sektor yang menyumbang kira-kira 10 peratus daripada ekonomi.

“Timbulnya risiko besar bahawa pengeboman merupakan permulaan fasa ganas baru konflik politik yang berlarutan di Thailand,” kata Krystal Tan, ahli ekonomi di Capital Economics. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA