Sektor pelancongan Thailand sasar 2.2 trilion Baht

Sektor pelancongan Thailand sasar 2.2 trilion Baht

BANGKOK, 9 Okt (Bernama) – Sektor pelancongan Thailand, yang terjejas akibat serangan bom di makam Erawan pada 17 Ogos lepas, telah kembali normal dan dijangka mencapai sasaran pendapatan sebanyak 2.2 trilion baht (100 baht = RM12.70).

Menteri Sukan dan Pelancongan, Kobkarn Wattanavrangkul, berkata sebanyak 1.5 trilion baht dijangka akan disumbangkan oleh pelancong asing dan bakinya daripada pelancong tempatan.

“Thailand dijangka menyaksikan ketibaan 28.8 juta pelancong dalam tahun ini,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, angka pendapatan dan jumlah ketibaan pelancong telah meningkat berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Pelancongan, secara langsung atau tidak langsung, menyumbang kira-kira 20 peratus daripada keluaran dalam negara kasar, Thailand, katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Thanasak Patimaprakorn berkata, masalah jerebu yang menjejaskan selatan Thailand, termasuk destinasi pelancongan seperti Phuket dan Hat Yai, telah bertambah baik dan kualiti udara kembali ke tahap yang sihat.

“Jerebu tidak memberikan kesan jangka panjang ke atas industri pelancongan,” katanya pada sidang media yang sama selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelancongan Kebangsaan di sini hari ini.

Musim hujan juga membantu mengurangkan jerebu, manakala bacaan indeks kualiti udara berjumlah kira-kira 50 tetapi tidak lebih daripada 100, katanya.

ARTIKEL YANG SAMA