Sektor pembinaan naik 20 peratus jika duti import jentera berat diturunkan

Sektor pembinaan naik 20 peratus jika duti import jentera berat diturunkan

KUALA LUMPUR, 27 Mei – Pertumbuhan sektor pembinaan boleh naik sebanyak lebih kurang 20 peratus jika duti import ke atas jentera berat dan alat gantinya diturunkan, kata Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM).

Presidennya, Matthew Tee berkata, penurunan akan menggalakkan kontraktor membeli jentera dan alat ganti baharu dan ini akan melonjakkan produktiviti.

“Kami berharap duti pada kod tarif tujuh yang tinggal akan dikurangkan kepada lima peratus. Kadar duti ini adalah sama seperti kadar tarif baharu kod tiga yang telah diluluskan dan telah berkuatkuasa pada Jun 2015,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Gabungan MBAM 2016 di sini hari ini.

“Berbanding dengan negara-negara ASEAN, duti import Malaysia adalah antara yang tertinggi, iaitu antara 10 dan 30 peratus.

“Negara-negara ASEAN lain mengenakan kadar yang lebih rendah. Malah Singapura telah menghapuskan duti import jentera,” kata Tee, sambil menambah bahawa persatuan sedang menunggu keputusan kerajaan untuk mengurangkan duti ke atas kod tarif tujuh yang lain.

Pada masa sekarang, kontraktor terpaksa menggunakan jentera lama atau yang sudah diubahsuai untuk mengelakkan tarif import tetapi cara ini menjejaskan produktiviti.

Tee ketika bercakap mengenai unjuran, berkata pertumbuhan dalam sektor pembinaan akan meningkat dalam suku ketiga seiring dengan perkembangan kontrak-kontrak dalam projek Transit Aliran Massa, Transit Aliran Ringan dan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Kami menjangka kebanyakan projek itu akan bermula dalam suku kedua tahun 2016. Oleh itu, pertumbuhan sektor akan menjadi lebih baik daripada suku pertama,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA