Sektor pembuatan ASEAN jadi tumpuan ABB

Sektor pembuatan ASEAN jadi tumpuan ABB

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) – ASEAN akan menjadi fokus ABB Group terutama dalam sektor pembuatan, berdasarkan pesatnya penggunaan teknologi dalam kalangan 600 juta penduduknya.

Pengarah Urusan ABB di Singapura dan Asia Tenggara Johan De Villiers berkata peneraju teknologi tenaga dan automasi itu mahu meningkatkan kehadirannya dalam blok dagangan baharu ini, yang merupakan penyumbang pertumbuhan kelima utama dunia.

“Kami mempunyai strategi pertumbuhan bagi seluruh dunia, dan kami mahu menggandakan pelaburan kami hingga 2020.

“Berdasarkan lebih 40 peratus penduduknya didominasi generasi muda, ASEAN merupakan lokasi yang menarik untuk penglibatan, dan kami yakin perkara positif akan berlaku di sini hasil daripada transformasi teknologi tinggi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata penggunaan robotik dalam sektor pembuatan di ASEAN bukan perkara baharu, dan daripada meletakkan mesin di lokasi terpencil, mereka kini bekerja bersama-sama manusia, seiring dan bertukar data.

Ini katanya akan meningkatkan kualiti hidup dan jaminan, dan pada masa yang sama menjadikan kemudahan pengeluaran di ASEAN antara yang terbaik di dunia.

Beliau juga berkata antara 10 anggota ASEAN, Malaysia merupakan antara negara maju yang menggunakan teknologi terkini, selain menjadi lokasi penempatan seramai 700 pekerja ABB, termasuk mereka yang bekerja sebagai jurutera perisian, untuk perniagaan perisan global ABB.

Malaysia merupakan negara perindustrian yang pesat dan oleh itu tumpuan kami ke atas negara ini akan berkisar kepada produktiviti dan kecekapan, katanya.

Negara seperti Myanmar, yang masih baru dalam teknologi dan kekurangan infrastruktur teknologi, digesa menggunakannya untuk melonjak dan berada setanding dengan anggota lain ASEAN, katanya.

“Saya percaya kepelbagaian dari segi kewarganegaraan dalam ASEAN memberi kelebihan kepada kita dan kami di ABB akan berusaha untuk memanfaatkan kekuatan di setiap negara memandangkan setiap negara mempunyai kekuatan ciri-ciri unik.

“Sebagai sebuah syarikat yang beroperasi di seluruh ASEAN, kami berupaya menghimpunannya dan menawarkan penyelesaian kepada ASEAN dan tempat lain di dunia namun bidang yang terlibat akan bergantung kepada apa yang pelanggan kami perlukan,” katanya.

Beliau brkata ABB mahu menyediakan platform yang membolehkan para pelanggan, terutama perusahaan kecil dan sederhana,  menggunakan teknologi untuk menyelesaikan masalah mereka.