Sektor penerbangan Malaysia dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Sektor penerbangan di Malaysia dijangkakan mencatat pertumbuhan yang sihat pada 2018, disokong oleh sentimen pengguna yang bertambah baik, pertambahan ketibaan pelancong selepas pertumbuhan yang lemah tahun lepas dan permintaan yang berterusan untuk perjalanan antarabangsa oleh penduduk tempatan.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) menjangka permintaan perjalanan udara dan ketibaan pelancong ke negara ini akan meningkat hasil daripada aktiviti promosi oleh Kementerian Pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020, selain inisiatif kerajaan untuk memudahkan prosedur bagi kemasukan pelancong menerusi peluasan hab serantau e-Visa.

“Dalam pasaran tempatan, terdapat pertumbuhan permintaan perjalanan yang kukuh sejak 16 Dis lepas, walaupun wujud kebimbangan mengenai kos hidup yang tinggi, pengurangan kuasa beli dan sentimen pengguna yang lebih rendah.

“Kami percaya pertumbuhan kukuh, didorong oleh penawaran perjalanan kos rendah, rangkaian syarikat penerbangan tambang rendah (LCC), perubahan demografi dan corak perbelanjaan pengguna,” katanya dalam nota penyelidikan.

HLIB Research menjangkakan permintaan daripada rakyat Malaysia untuk melakukan perjalanan ke luar negara akan terus meningkat pada 2018 memandangkan perkembangan kapasiti yang agresif.

Pertumbuhan kapasiti keseluruhan dalam sistem dijangkakan berada pada enam hingga tujuh peratus pada 2018 dan walaupun terdapat masalah lebihan kapasiti dalam pasaran, firma penyelidikan itu berkata kapasiti tambahan ini akan diserap dengan baik oleh permintaan dalam perjalanan, terutama oleh penduduk tempatan.

Berdasarkan persekitaran bekalan-permintaan yang seimbang pada 2018, hasil keseluruhan dijangkakan mampan, dengan syarikat penerbangan tidak mempunyai tekanan untuk menetapkan harga produk mereka secara agresif bagi meningkatkan faktor beban.

“Kami tidak menjangkakan banyak tekanan ke atas hasil AirAsia. Pesaing utama, Malaysia Airlines dan Malindo, memperlahankan pertumbuhan kapasiti mereka dan mengalihkan semula aset ke laluan yang lebih menguntungkan, selain tidak bersaing dengan AirAsia,” katanya.

Sementara itu, HLIB Research menaikkan unjuran pendapatan Malaysia Airports Holdings Bhd masing-masing sebanyak 6.9 peratus dan 3.2 peratus bagi tahun kewangan 2018 dan 2019, memandangkan pengendali lapangan terbang itu bakal menjadi penyumbang utama peningkatan perjalanan udara di Malaysia selain pemulihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gökçen Istanbul. – Bernama