Sektor pengangkutan paling dapat faedah

Sektor pengangkutan paling dapat faedah

LABUAN, 1 Sept (Bernama) – Pengangkutan akan menjadi sektor yang paling mendapat faedah susulan penurunan harga bahan api, memandangkan kira-kira 85 peratus kosnya adalah berkaitan bahan api.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Labuan, Datuk Yussof Mohammad berkata, dengan melihat secara lebih luas kesemua jenis pengangkutan, pengurangan harga bahan api akan memberi margin yang tinggi kepada pengendalinya dan penjimatan kepada pengguna.

“Dalam jangka panjang, ia membuka pelbagai peluang strategik untuk syarikat pengangkutan. Bagaimanapun, sukar untuk menjangka berapa lama harga bahan api ini dapat bertahan, jadi, adalah lebih baik untuk syarikat pengangkutan meneruskan langkah berhati-hati,” katanya kepada Bernama.

Yussof berkata pengguna dapat berjimat dan akan memberi kesan positif kepada pelbagai perniagaan.

“Bagaimanapun, perubahan besar dalam persekitaran juga mempunyai kesan kerana ia akan menimbulkan pelbagai kemungkinan. Syarikat mungkin mempertimbangkan dan memikirkan semula laluan serta strategi daya saing mereka,” katanya.

Beliau berkata, harga bahan api yang rendah memberi manfaat kepada syarikat trak pengangkutan memandangkan mereka dapat merapatkan jurang harga dengan syarikat pengangkutan udara dan sekaligus lebih berdaya saing.

“Keadaan ini akan membantu syarikat trak pengangkutan mendapatkan semula pelanggan mereka. Dalam jangka panjang, kos bahan api yang rendah akan membantu syarikat itu menyelaras rangkaian dan laluan mereka untuk memudahkan pelanggan serta mengekalkan urus niaga perniagaan sedia ada,” katanya.

Yussof berkata syarikat pengangkutan laut dan feri juga perlu meneliti semula strategi masing-masing.

“Apabila harga minyak naik sejak beberapa tahun lepas, banyak syarikat melaksanakan kecekapan perkhidmatan dan mengurangkan kelajuan perjalanan, dan sekarang dengan harga bahan api yang rendah, pengusaha kapal perlu melaksanakan pelan perniagaan terbaik untuk manfaat mereka,” katanya.

Harga bahan api bagi bulan September iaitu petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 10 sen seliter kepada RM1.95 dan RM2.35 sen, manakala diesel turun 15 sen seliter kepada RM1.80.

Harga pembelian diesel bersubsidi ‘fleet card/skid tank’ untuk pengangkutan awam dan feri penumpang sungai juga dikurangkan kepada RM1.80 daripada RM1.88 seliter.

Bagaimanapun, harga bagi ‘skid tank’ untuk pengangkutan barangan pengguna kekal pada RM2.07 seliter.

Labuan bergantung kepada syarikat pengangkutan dan perkhidmatan feri bagi barangan pengguna dari tanah besar Sabah.

ARTIKEL YANG SAMA