Sektor perbankan negara kukuh & berdaya tahan

Sektor perbankan negara kukuh & berdaya tahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Sistem kewangan Negara Brunei Darussalam terdiri daripada institusi kewangan Islam dan konvensional yang mempunyai aset keseluruhan berjumlah $20.7 bilion pada tahun 2015 dan sebahagian besar sistem kewangan negara adalah terdiri daripada institusi perbankan dengan aset berjumlah $17 bilion pada 2015 yang merupakan 82 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sistem kewangan.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini mengatakan, jumlah aset ini menyumbang kepada pengukuhan dan daya tahan sektor perbankan negara ini. Ini disebabkan beberapa peraturan dan arahan kewangan yang telah dikeluarkan oleh AMBD dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

Kenyataan itu turut menyebut beberapa peraturan dan arahan yang telah dikeluarkan antaranya ialah Nisbah Khidmat Keseluruhan Hutang (Total Debt Service Ratio), Pinjaman Peribadi Tidak Bercagar (Unsecured Personal Credit Facility), Pembiayaan Peribadi Yang Tidak Bercagar (Unsecured Personal Financing Facility), Skim Penyatuan Pinjaman (Consolidation Loan Scheme), Yuran/Caj Perkhidmatan (Service Fees/Charges) dan Kad Kredit.

Peraturan-peraturan berkenaan bertujuan untuk mengawal hutang isi rumah yang boleh menjadi sumber kelemahan kepada sosioekonomi secara keseluruhan, dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip seperti menggalakkan institusi kewangan memberi pembiayaan lebih bertanggungjawab dan beretika, mempromosikan dan meningkatkan kebolehan pengurusan hutang dalam kalangan orang ramai bagi kepentingan kestabilan.

Notis-notis ini telah berkuat kuasa mulai 8 Jun 2015. Selain itu, AMBD juga komited menyediakan pasaran perkhidmatan kewangan yang stabil dan sihat, beberapa Notis Peraturan telah digubal dan dikuatkuasakan mulai 28 Oktober 2015 di mana beberapa kelonggaran telah diperkenalkan yang berhubung kait dengan pembiayaan peribadi.

Carta yang menunjukkan mengenai Aset Perbankan, Deposit dan Pembiayaan.
Carta yang menunjukkan mengenai Aset Perbankan, Deposit dan Pembiayaan.

Antaranya ialah beberapa aliran pendapatan tambahan yang tertentu telah dibenarkan untuk diambil kira sebagai Pendapatan Bulanan Bersih khususnya bagi golongan yang bekerja. Manakala bank-bank boleh menawarkan kad kredit tanpa keperluan bagi peminjam untuk memasukkan gaji atau mencagarkan simpanan tetap kepada bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut.

Seterusnya, sebagai komitmen berterusan AMBD untuk mengembang majukan sektor kewangan yang kukuh dan progresif juga, beberapa peraturan telah diteliti kesesuaiannya dan keberkesanannya. Pada 8 September 2015, AMBD telah membatalkan peraturan direktif khusus bagi syarikat-syarikat kewangan yang menghendaki pelanggan untuk menyediakan jumlah deposit sebanyak 12.5% daripada harga kenderaan yang diluluskan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) bagi setiap pembiayaan kenderaan.

Keperluan berkenaan telah dikuatkuasakan melalui direktif yang dikeluarkan pada Disember 2004 dan Oktober 2006 secara berasingan.

Secara keseluruhan gambaran sektor perbankan di negara ini terus kukuh dan berdaya tahan di mana pengawalseliaan dan penyeliaan perbankan diperkukuhkan secara berterusan bagi memastikan kestabilan kewangan, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.

AMBD akan terus berwaspada terhadap risiko dan faktor-faktor luaran yang boleh menjejaskan sektor kewangan domestik dan ekonomi. Bank-bank dan institusi-institusi kewangan di negara ini tidak mempunyai sebarang pendedahan yang signifikan di luar negara.

Dari itu, risiko luaran seperti krisis hutang Greece atau kemungkinan kelembapan pemulihan ekonomi global bukanlah risiko yang besar kepada portfolio pinjaman bank.

Secara keseluruhan, penunjuk kekukuhan kewangan (financial soundness indicators) dalam sektor perbankan, kekal pada tahap yang kukuh.

Modal sistem perbankan terus kukuh dengan agregat nisbah kecukupan modal (capital adequacy ratio) sebanyak 21.1% pada tahun 2015. Bank-bank di Negara Brunei Darussalam mempunyai kecairan yang tinggi dengan nisbah aset cair kepada jumlah aset pada tahun 2015 sebanyak 45.6%.

Penggunaan deposit secara produktif juga dapat dilihat melalui peningkatan nisbah pembiayaan kepada nisbah deposit (tidak termasuk deposit kerajaan) daripada 41.7% pada tahun 2014 kepada 46.3% pada tahun 2015. Peningkatan ini adalah disebabkan oleh peningkatan dalam pembiayaan sektor perniagaan sebanyak 10.8%.

Secara keseluruhan, aset dan deposit sistem perbankan masing-masing telah menurun sebanyak 8.9% daripada $18.7 bilion pada tahun 2014 kepada 17.0 bilion pada tahun 2015 dan sebanyak 11.0% daripada $16.0 bilion pada tahun 2014 kepada $14.2 billion pada tahun 2015.

Penurunan aset tersebut adalah disebabkan oleh penurunan kepada placements dengan bank-bank dan institusi kewangan di luar negara sebanyak 24.0%.

Di samping itu, penurunan deposit pula adalah disebabkan oleh pengurangan deposit institusi. Manakala pembiayaan telah mencatatkan peningkatan sebanyak 7.6% daripada $5.7 bilion pada tahun 2014 kepada $6.1 bilion pada tahun 2015.

Kualiti aset didapati terus meningkat dengan nisbah bersih pembiayaan tertunggak (Net Non-Performing Loans/Financing ratio) sebanyak 1.7% pada tahun 2015.

Hutang isi rumah merupakan sektor pembiayaan yang utama iaitu sebanyak 50.7% daripada jumlah keseluruhan pembiayaan di mana pembiayaan peribadi merupakan sektor terbesar iaitu sebanyak 27.3%.

Rumah kediaman (residential housing) merupakan sektor yang kedua terbesar di mana ianya mencatatkan sebanyak 23.4% daripada pembiayaan iaitu peningkatan sebanyak 3.6% daripada $1.38 bilion pada tahun 2014 kepada $1.43 bilion pada tahun 2015.

Penyumbang utama kepada peningkatan tersebut adalah peningkatan sebanyak 9.7% dalam Pembelian Rumah daripada $0.65 juta kepada $0.71 bilion, manakala Pembelian Tanah dan Pembinaan telah menurun sebanyak 9.5% daripada $0.31 bilion kepada $0.28 bilion.

Selaras dengan aspirasi AMBD untuk menggalakkan pembiayaan bank-bank kepada sektor produktif, pertumbuhan kredit dalam sektor korporat adalah paling ketara dengan peningkatan sebanyak 10.8%, iaitu daripada $2.72 bilion pada tahun 2014 kepada $3.01 bilion pada tahun 2015, yang mana pertumbuhan berkenaan disumbangkan oleh sektor perkhidmatan dan sektor pembuatan.

ARTIKEL YANG SAMA