Sektor perindustrian akan pulih daripada kelembapan ekonomi global

Sektor perindustrian akan pulih daripada kelembapan ekonomi global

GEORGE TOWN, 13 Okt – Sektor perindustrian digesa memanfaatkan peluang ketika tempoh kelembapan ekonomi global bagi merancang modul perniagaan untuk masa akan datang.

Ketika membuat gesaan itu, pakar perindustrian global yang juga Naib Presiden Infor bagi Asia Selatan, ASEAN dan Pasifik, Helen Masters turut yakin ekonomi global akan kembali pulih dalam masa beberapa tahun ini.

“Ekonomi suram (ketika ini) dan ini bukan kali pertama kita berdepan senario itu. Pada tempoh 2007 hingga 2009, kita pernah berdepan keadaan yang disifatkan ahli ekonomi sebagai krisis kewangan terburuk sejak Zaman Kemelesetan pada 1930-an.

“Kita (terbukti) berjaya mengatasinya dan pasti dapat mengulanginya,” katanya pada sidang media bersempena program Infor ASEAN Roundtable anjuran syarikat itu di sini, hari ini.

Masters berkata Pulau Pinang masih menjadi kawasan perindustrian utama di utara Malaysia biarpun berdepan kelembapan semasa, malah beliau yakin sektor industri mampu menempuhi fasa itu.

“Pulau Pinang sedang melalui fasa pemberhentian pekerja susulan langkah penyusunan semula sektor perindustrian. Bagaimanapun, syarikat-syarikat ini akan meneliti semula modul perniagaan serta memperkukuh kelemahan masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, kata Masters, pada tempoh mencabar seperti sekarang, banyak yang boleh dilakukan syarikat dan menjadi masa terbaik untuk meningkatkan kecekapan sedia ada.

Mengikut Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), lebih 2,000 pekerja diberhentikan setakat tahun ini dan terbaharu membabitkan 241 pekerja TS Solartech Sdn Bhd yang diberi notis pemberhentian dalam masa 24 jam.

MTUC turut menyuarakan kebimbangan terhadap aliran pemberhentian pekerja yang dijangka akan berlanjutan dalam bulan-bulan akan datang.

Namun Masters sebaliknya mempunyai pandangan tersendiri mengenainya.

“Ia akan menjejaskan kita dalam masa beberapa tahun, namun apabila ekonomi kembali stabil, syarikat-syarikat ini akan menjadi lebih kukuh dan disusuli dengan proses pengambilan pekerja. Ini hanyalah satu fasa,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji usaha kerajaan untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mana Malaysia mencatat pertumbuhan antara 4-4.5 peratus, tahun ini.

“Ini jauh lebih baik berbanding Singapura yang hanya mencatat pertumbuhan KDNK 2.1 peratus. Ini menunjukkan Malaysia berada di landasan yang tepat,” katanya.

Mengikut statistik Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia adalah antara lima negara ASEAN selain Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam, yang mencatat pertumbuhan KDNK yang kukuh.

Mengulas ringgit, Masters berkata biarpun unit tempatan itu lemah, sektor eksport sebaliknya berjalan lancar dan menyaksikan lebih banyak pelaburan dicatatkan.

Statistik Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menunjukkan, jumlah eksport bagi tempoh Januari sehingga Ogos tahun ini mencecah RM500.33 bilion berbanding RM495.62 bilion bagi tempoh sama, sebelum ini.

Produk elektrikal dan elektronik kekal menjadi segmen eksport tertinggi iaitu menyumbang RM181.64 bilion atau 36.6 peratus daripada jumlah eksport negara. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA