Sektor swasta diperiksa

Sektor swasta diperiksa

Gambar oleh Infofoto

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mac – Bagi membuka laluan kepada ekonomi yang lebih kukuh dan mapan serta mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak dan gas, penekanan perlu diberikan kepada usaha untuk memperkasakan sektor swasta di negara ini.

Untuk itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, bertitah menggesa perubahan dalam strategi perniagaan untuk merebut peluang-peluang yang ada dan bukan hanya memberi tumpuan kepada ekonomi sara diri tetapi juga memberikan tumpuan kepada pendekatan perniagaan berasaskan eksport.

Usahawan tempatan juga digesa agar lebih berdaya saing untuk berjaya dengan merebut bukan sahaja peluang domestik, tetapi juga peluang-peluang yang ada pada peringkat antarabangsa, titah Baginda lagi semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, semalam.

Ketika menggariskan beberapa kawasan tumpuan yang perlu diberi perhatian khusus, Baginda menggesa sektor swasta untuk meneroka dan memanfaatkan medium perdagangan serantau dan antarabangsa sedia ada seperti BIMP-EAGA, ASEAN, APEC dan yang paling baru, Perjanjian Trans-Pasifik untuk membantu merangsang ekonomi.

Dalam hal ini, Baginda menekankan beberapa langkah konkrit yang telah diperkenalkan oleh kerajaan baru-baru ini untuk membantu memperbaiki persekitaran perniagaan termasuk infrastruktur, perundangan yang pro perniagaan di mana pendaftaran syarikat perniagaan sekarang sudah boleh dibuat secara online dalam tempoh hanya sehari sahaja, dan lesen perniagaan juga tidak diperlukan lagi bagi sebahagian perniagaan.

Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, kelmarin.
Baginda Sultan ketika berkenan mengurniakan titah semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara, kelmarin.

pg01_160307_MMN-_Logo

Baginda Sultan berkenan memeriksa barisan kehormat yang terdiri daripada 100 orang pegawai Polis Diraja Brunei.
Baginda Sultan berkenan memeriksa barisan kehormat yang terdiri daripada 100 orang pegawai Polis Diraja Brunei.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Kewangan dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Walaupun Baginda berkenan menyambut baik projek-projek Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang telah memulakan operasi di negara ini, dengan banyak lagi dalam perancangan sementara menunggu penelitian, Baginda bertitah bahawa usaha untuk memudahkan ekonomi melalui peningkatan berkesan perlu diteruskan.

“Kita masih mampu untuk melakukan yang terbaik, dengan syarat kita tidak leka dengan pencapaian semasa,” titah Baginda.

Menyentuh mengenai bajet fiskal, walaupun mempunyai keupayaan untuk menyediakan beberapa peruntukan operasi pembangunan kebangsaan, Baginda mengingatkan bahawa kewangan berhemah perlu diamalkan dengan memberi lebih tumpuan kepada keperluan dan keutamaan.

Terdahulu, dalam titah perasmian itu, Baginda mengulangi keperluan untuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) menumpukan perbincangan mengenai isu-isu strategik yang membawa kesan positif kepada negara, sambil menjelaskan isu yang dibincangkan perlu disusuli dengan tindakan, dan Baginda bertitah, apa-apa pencapaian mesti diukur kerana jika tidak, penambahbaikan tidak boleh dibuat.

“Mana-mana strategi atau inisiatif perlu mengambil ‘delivery approach’ untuk mencapai keputusan yang dikehendaki.”

Baginda Sultan juga berkenan meminta ahli-ahli MMN untuk menunjukkan visi pantas dan jauh ke depan dan perlu mengambil langkah-langkah mitigasi serta membuat persediaan yang perlu sebelum soalan dikemukakan kepada mereka, terutama dalam perbincangan yang boleh mencetuskan idea mengenai bagaimana untuk menjana pendapatan negara dan bagaimana kerajaan boleh menjadi rakan kongsi dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan rakyat.

Baginda juga berkenan mengingatkan bahawa saranan mahupun buah fikiran dan soalan-soalan hendaklah dibuat bukan atas kepentingan diri sendiri atau hanya mendengar daripada satu pihak sahaja tanpa membuat kajian mendalam mengenainya kerana ia mungkin tidak penting untuk dibawa dan dibincangkan dalam dewan.

Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bergambar ramai.
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bergambar ramai.

Di samping itu, Baginda juga bertitah agar ahli-ahli MMN dapat meneruskan serta melipatgandakan usaha masing-masing dalam memeduli permasalahan rakyat dan penduduk negara ini, sama ada mereka yang bermastautin di kawasan bandar mahupun di kawasan-kawasan luar bandar.

Berangkat sama semasa Istiadat Pembukaan Rasmi itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Sebelum Istiadat Pembukaan Rasmi, majlis terlebih dahulu menyaksikan lima orang ahli MMN baru mengangkat sumpah, yang terdiri daripada Menteri-menteri Kabinet yang baru dilantik iaitu Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong; Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Mesyuarat kali ini mengesahkan minit persidangan Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-11 yang telah bersidang selama 13 hari mulai 5 Mac 2015 hingga 23 Mac 2015.

Majlis kali ini dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib dan dibantu oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar dan Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail.

Ahli-ahli MMN terdiri daripada ahli-ahli rasmi kerana jawatan (perdana menteri dan menteri-menteri), ahli-ahli yang dilantik orang-orang bergelar, ahli-ahli yang dilantik orang yang telah mencapai kecemerlangan dan ahli-ahli yang dilantik mewakili daerah.

Persidangan kali ini antaranya akan membincangkan perkara utama termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan Bagi Tahun Kewangan 2016/2017 bagi Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Majlis Mesyuarat Negara telah ditubuhkan menurut Bab 23 daripada Perlembagaan Negara Brunei, 1959 dan ahli-ahlinya dilantik menurut Bab 24. Ia telah dibubarkan pada tahun 1984 dan pada 25 September 2004, majlis ini telah bersidang semula sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-58 tahun pada 15 Julai 2004.